Dua lori disyaki seleweng diesel ditahan dalam Ops Tiris 4.0 di Shah Alam

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menggagalkan kegiatan urus niaga mencurigakan melibatkan bahan api diesel bersubsidi selepas menahan dua buah lori dalam satu operasi bersepadu awal pagi semalam. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, serbuan sekitar jam 1 pagi pada 20 April itu dilaksanakan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia di kawasan Taman Perindustrian Shah Alam.

Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan selepas pihak berkuasa berasa curiga terhadap dua lori yang berhenti di lokasi berkenaan sebelum menemui pengubahsuaian pada kenderaan tersebut. “Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lori telah diubah suai dengan pemasangan tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter. “Sebanyak lapan unit IBC ditemui, dengan anggaran 2,300 liter disyaki bahan api diesel berada di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan bawah 45 tahun yang dipercayai pemandu lori ditahan di lokasi kejadian dan diserahkan kepada anggota penguat kuasa KPDN Selangor untuk diambil keterangan. “Siasatan awal mendapati kedua-dua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi memiliki dan membawa barang kawalan tersebut,” katanya. Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, khususnya Seksyen 21 dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana disyaki berurus niaga barang kawalan tanpa lesen sah.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM60,000 dan semua barangan sitaan kini disimpan di stor ekshibit KPDN Selangor untuk tindakan lanjut. Mohd Hanizam menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitan barang kawalan. “Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN termasuk aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline dan portal e-aduan. “KPDN Selangor akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan sasar serta membanteras sebarang aktiviti penyelewengan,” katanya.