Keputusan Pengosongan Nurseri Ambil Kira Kebajikan Pengusaha – Izham Hashim

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YB Dato’ Ir. Izham Hashim Exco Infrastruktur & Pertanian berkenaan Tapak Nurseri Sungai Buloh di Dewan Annex, Wisma Dewan Negeri, Shah Alam, Selangor. 21hb April 2026 (Selasa)

Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan kelonggaran tempoh pengosongan tapak nurseri di sepanjang Jalan Sungai Buloh sehingga Ogos 2026 sebagai pendekatan pragmatik dan berperikemanusiaan bagi membantu pengusaha terlibat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, keputusan tersebut dibuat secara teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira keperluan pembangunan negeri serta kebajikan pengusaha nurseri.

Menurut beliau, pada tahun 2021, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan supaya pengusaha dipindahkan ke tapak alternatif di Bukit Changgang sebagai penyelesaian jangka panjang. Daripada 54 plot yang terlibat, seramai 33 pengusaha bersetuju untuk berpindah dan telah membuat bayaran deposit, manakala 21 lagi tidak bersetuju.

“Bagaimanapun, hasil penelitian Jawatankuasa Teknikal mendapati tapak di Bukit Changgang tidak sesuai kerana sering ditakungi air dan memerlukan kos penambahbaikan tinggi mencecah RM10 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor telah memulangkan bayaran deposit kepada pengusaha pada 14 April lalu, kecuali empat plot yang masih dalam proses penyelesaian isu teknikal.

Sebagai langkah penyelesaian, kerajaan negeri turut bersetuju memberikan bayaran ex-gratia sebanyak RM10,000 bagi setiap plot kepada pengusaha yang terkesan.

Izham menjelaskan, isu tersebut bermula sejak 18 April 2019 apabila notis pengosongan tapak dikeluarkan, susulan pelaksanaan projek pembinaan jalan bertingkat di KWASA Damansara yang bermula pada 1 Januari 2020.

Menurutnya, bagi pengusaha yang telah berpindah, proses pengosongan akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah secara berperingkat bermula Mei 2026. “Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya mana-mana pihak gagal mematuhi tempoh kelonggaran atau enggan mengosongkan tapak selepas tarikh akhir ditetapkan,” tegas beliau.

Dalam masa sama, kerajaan negeri kekal komited merangka penyelesaian jangka panjang yang lebih inklusif dengan membuka ruang kepada pengusaha yang masih berminat untuk membangunkan semula nurseri di Bukit Changgang.

Cadangan pembangunan kawasan seluas kira-kira 30 ekar itu akan dilaksanakan melalui model sewaan yang diselaraskan oleh PKPS, dengan kerajaan menyediakan tapak manakala kos pembangunan infrastruktur asas ditanggung oleh pengusaha.

Kerajaan Negeri Selangor berharap semua pihak dapat memberi kerjasama penuh bagi memastikan proses pengosongan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur, harmoni dan mampan demi kepentingan bersama.