Mangsa kebakaran di Sandakan, IC hilang, boleh ganti… Tapi bukan semua – KDN 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan akan membantu mangsa kebakaran di Sandakan mendapatkan semula dokumen pengenalan diri, namun proses itu tidak akan dilakukan secara automatik kepada semua pihak.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata setiap permohonan akan diteliti mengikut prosedur sedia ada bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberikan dokumen gantian.

“Dokumen pengenalan diri ini sangat penting. Kita akan bantu sedaya upaya, khususnya kepada mereka yang sah berstatus warganegara, tetapi ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurutnya, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), mangsa yang kehilangan dokumen akibat bencana seperti kebakaran boleh mendapatkan dokumen gantian, namun setiap kes akan dinilai secara individu.

“Kita akan mudahkan proses, tetapi bukan bermaksud kita pukul borong. Setiap kes akan ditangani satu persatu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kebajikan mangsa terjamin, termasuk penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) kepada ribuan penduduk terjejas.

Katanya, kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan yang berlaku Ahad lalu telah memusnahkan lebih 1,000 rumah di kawasan perkampungan atas air, melibatkan lebih 9,000 mangsa.

Kerajaan negeri Sabah bersama agensi persekutuan kini giat menjalankan proses pendaftaran mangsa, dan isu berkaitan dokumen pengenalan diri akan ditangani secara berperingkat selepas keperluan asas disediakan.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan tersebut penting bagi memastikan bantuan disalurkan secara tersusun, selain mengelakkan sebarang penyalahgunaan dalam pengeluaran dokumen rasmi.