Penyokong tegar pembangkang label Pas parti kaki fitnah
Ali Abu adalah antara penyokong tegar pembangkang. Dia selalu memuji Pas-PN dan sentiasa menghalakan serangannya kepada Kerajaan Madani dan Pakatan Harapan.
Namun apabila semakin ramai pemimpin Pas terbukti membuat fitnah, dia menukar haluan serangannya.
Kali ini dia halakan serangannya kepada Pas.
Bagi Ali Abu, Pas bukan kaki rasuah, tetapi sebuah parti yang membuat fitnah terhadap lawannya.
“Pas bukan kaki rasuah. Tapi Pas kaki fitnah,” tulisnya di Facebook, sambil melabel Pas sebagai kaki fitnah terhadap parti lawannya.
Hari itu, katanya, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi kalah dalam saman fitnah, kali ini Ahli Parlimen Jasin pula.
“Hari ini Ahli Parlimen yang pakai serban yang walaun panggil sebagai Tuan Guru. Zul tah hape kebende tah namo ey,” tulis Ali Abu.
“Macam mano mulut Yb-Yb parti Islam ini boleh sentiasa berzikir memfitnah orang ni brader?Â
“Tu pasal Pas wajib buang namo Islam dalam namo partinya agar kesucian namo Islam tidak terfitnah kerana kebodohan Yb-Yb dari partinya yang suko menfitnah orang lain,” tulisnya lagi dalam loghat Negeri Sembilan.
Ali Abu mengulas pengakuan MP Jasin, yang digelar sebagai “Tuan Guru” oleh dirinya sendiri bersama media rasmi Pas, Harakah, yang mengaku bersalah di mahkamah kerana memfitnah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Selain memohon maaf MP Jasin dan akhbar Pas itu terpaksa membayar RM15,000 kos mahkamah kepada Fadlina.
Ini bukan kali pertama pemimpin Pas mengaku bersalah memfitnah, tetapi sudah banyak kali.
Antara kes paling besar adalah ketika Siti Mastura kalah saman terhadap tiga pemimpin DAP selepas memfitnah mereka mempunyai pertalian dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Beliau diarah membayar ganti rugi keseluruhan dan kos berjumlah RM825,000 termasuk faedah kepada ketiga-tiga plaintif.
Baru-baru ini pula, mahkamah memutuskan bekas calon Pas kawasan DUN Kuang, Mohd Fauzan Madzlan telah memfitnah Datuk Fahmi Fadzil, selepas menuduh Fahmi menyampaikan ceramah politik dalam Masjid Nurul Yaqin, di Rawang, Selangor pada 2023.
Pada 2023, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana mendakwa Perdana Menteri membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.
Pada tahun sama, bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd. Rani kalah kepada Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa selepas terbukti memfitnah kononnya aset Tabung Haji dijual kepada bukan Islam.