Bajet AS cetus debat bila bantuan sosial dikurangkan

Cadangan bajet 2027 oleh pentadbiran Donald Trump mencetuskan perdebatan hangat apabila peningkatan besar perbelanjaan ketenteraan dilihat datang bersama pengurangan ketara terhadap program sosial, menurut laporan Anadolu Agency. 

Dalam taklimat di Pentagon, pegawai kanan pertahanan memaklumkan bahawa cadangan tersebut melibatkan peningkatan sekitar 42 peratus dalam perbelanjaan ketenteraan berbanding tahun sebelumnya, termasuk pelan bernilai kira-kira $750 bilion bagi pembangunan sistem pertahanan baharu.

Cadangan itu turut merangkumi kenaikan gaji anggota tentera antara lima hingga tujuh peratus serta penambahan seramai 44,000 anggota baharu. 

Pada masa sama, pentadbiran itu merancang pembinaan armada laut baharu yang digelar “Golden Fleet” dengan kos sekitar $65.8 bilion, melibatkan pembinaan puluhan kapal termasuk kapal tempur dan bukan tempur.

Namun, di sebalik peningkatan tersebut, Rumah Putih bercadang mengurangkan kira-kira $73 bilion daripada program sosial termasuk penjagaan kesihatan dan bantuan perumahan, selain mencadangkan pengurangan sekitar 10 peratus dalam perbelanjaan diskresionari yang melibatkan sektor seperti penyelidikan perubatan, perlindungan alam sekitar, latihan pekerjaan dan bantuan bencana.

Langkah itu mengundang kritikan daripada ahli politik Demokrat serta pelbagai organisasi masyarakat sivil yang menyifatkannya sebagai membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Ahli Jawatankuasa Bajet Senat, Patty Murray berkata cadangan tersebut akan memberi kesan besar kepada rakyat, terutama apabila lebih 70 juta penduduk Amerika Syarikat bergantung kepada program bantuan kesihatan seperti Medicaid.

“Presiden Trump mahu memotong penyelidikan perubatan untuk membiayai perang yang mahal. Tiada yang lebih regresif daripada ini,”katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 289 organisasi dilaporkan telah menghantar surat kepada Kongres bagi menggesa cadangan bajet Pentagon yang boleh mencecah sehingga $1.5 trilion itu ditolak.

Pakar ekonomi turut memberi amaran bahawa peningkatan mendadak dalam perbelanjaan ketenteraan akan menambah tekanan terhadap defisit negara, ketika hutang persekutuan Amerika Syarikat kini telah melebihi $39 trilion.

Cadangan tersebut dijangka menjadi perdebatan sengit di Kongres, dengan persoalan utama tertumpu kepada keutamaan kerajaan sama ada untuk memperkukuh kekuatan ketenteraan atau melindungi kebajikan rakyat domestik.

BACA JUGA RM200 juta sehari subsidi bahan api, ramai tak tahu kerajaan tanggung beban fiskal amat besar