Dulu jaga negara, kini veteran ATM sertai projek agro moden
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertahanan Malaysia bagi membangunkan tanah pertanian milik kementerian itu, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program perintis tersebut memberi fokus kepada kebajikan serta kelangsungan hidup veteran selepas bersara melalui penyediaan sumber pendapatan dalam sektor agromakanan moden.
Menurutnya, projek awal melibatkan kira-kira 20 hektar tanah yang dikenal pasti di beberapa lokasi termasuk Kuala Selangor, dengan penyertaan 40 veteran dalam fasa pertama.
“Kerjasama ini bertujuan membantu veteran ATM menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup selepas tamat perkhidmatan, di samping membangunkan tanah pertanian dengan pendekatan moden,” katanya sempena pameran Defence Services Asia 2026.
Beliau berkata, projek itu berpotensi diperluaskan ke lebih banyak kawasan tanah milik MINDEF sekiranya pelaksanaannya menunjukkan hasil memberangsangkan.
Dalam pelaksanaan awal, peserta akan mengusahakan tanaman seperti cili fertigasi menggunakan sistem pertanian pintar (smart farming) bagi meningkatkan hasil serta kecekapan pengeluaran.
Amirudin menjelaskan, pengalaman daripada projek terdahulu termasuk di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Petaling Jaya yang menunjukkan hasil positif akan dimanfaatkan sebagai model latihan kepada peserta.
“Veteran akan didedahkan dengan kemahiran teknologi dan pengurusan pertanian moden supaya mereka lebih bersedia serta berdaya saing,” katanya.
Hasil pengeluaran pula akan dipasarkan secara tersusun dengan pendapatan disalurkan terus kepada peserta sebagai sumber rezeki utama.
Kerjasama ini dilihat sebagai kesinambungan kepada inisiatif ekonomi rakyat oleh PKPS, termasuk program Ehsan Mart, dalam usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan peluang pendapatan di Selangor.
BACA JUGA Projek MADANI seperti jalan, sekolah, klinik di Johor semua lancar – KKR