KPDN Selangor gagalkan lagi cubaan seleweng diesel, lori tangki diubah suai dirampas

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sekali lagi berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan diesel bersubsidi hasil rondaan di sebuah stesen minyak di sekitar Pandamaran, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.00 petang itu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan ketika sedang mengisi bahan api diesel. Pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori tersebut telah diubah suai bagi membolehkan bahan api yang dipam disedut semula dan dipindahkan ke dalam tangki badan lori. Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek, tangki badan lori itu dianggarkan berkapasiti 5,000 liter, manakala kira-kira 1,000 liter diesel berjaya diselamatkan daripada disyaki diseleweng.

“Hasil pemeriksaan ke atas pemandu lelaki warga tempatan berumur lingkungan 40 tahun mendapati beliau gagal mengemukakan dokumen sah memiliki dan membawa barang kawalan berjadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga bahan api tanpa lesen sah. Pemandu lori telah ditahan bagi tujuan rakaman percakapan.

Dalam masa sama, pihak stesen minyak berkenaan turut berdepan siasatan kerana berpotensi melanggar peraturan berkaitan pengendalian barang kawalan tanpa lesen. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM62,000, manakala nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut dianggarkan sekitar RM6,000. Lori tangki bersama muatan diesel telah disita dan disimpan di stor eksibit KPDN Selangor.

KPDN Selangor menegaskan komitmen berterusan dalam pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bagi membanteras ketirisan subsidi susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global. Operasi ini melibatkan pemantauan rapi terhadap stesen minyak, pemborong serta premis berkaitan bagi memastikan pengagihan bahan api bersubsidi sampai kepada golongan sasar.

Sejak 16 Mac hingga 21 April 2026, sebanyak 852 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan stesen minyak, pemborong bahan api, premis runcit serta stor haram. Daripada jumlah itu, 17 kes telah dihasilkan dengan nilai sitaan keseluruhan melebihi RM300,000.

“KPDN Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara boleh dikenakan terhadap individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta,” tegas beliau.