Pelancaran Pusat Prestasi Tinggi Negara dan MyTP perkukuh pembangunan atlet — Menteri Belia dan Sukan

FOTO BERITA: Majlis Peluncuran Bangunan Pusat Prestasi Tinggi Negara, Institut Sukan Negara dan Dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyTP) oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari Menteri Belia dan Sukan di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara Bukit Jalil Kuala Lumpur. 22hb April 2026 (Rabu)

Beliau berkata, pelancaran tersebut melibatkan dua elemen penting dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan negara iaitu kemudahan latihan bertaraf tinggi dan pelan strategik pembangunan bakat secara menyeluruh.

Menurutnya, Bangunan Pusat Prestasi Tinggi Negara bukan sekadar sebuah fasiliti fizikal, sebaliknya dilengkapi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) serta peralatan latihan terkini bagi memastikan pembangunan atlet berada pada landasan terbaik.

“Bangunan ini menempatkan pelbagai makmal pengujian canggih seperti makmal komposisi tubuh, psikologi sukan, kejuruteraan sukan, biokimia serta fisiologi dan pemakanan. Semua latihan atlet juga berasaskan data dan bukti (evidence-based),” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ISN atas komitmen menjadikan pendekatan berasaskan data sebagai indikator utama dalam pembangunan atlet negara.

Dalam pada itu, Dr. Mohammed Taufiq menjelaskan bahawa MyTP merupakan dokumen strategik yang dibangunkan melalui proses libat urus menyeluruh sejak 2020 hingga 2025, dan kini menjadi rujukan utama dalam pembangunan bakat sukan secara sistematik.

Katanya, pelan tersebut dijangka memberi impak besar termasuk melahirkan atlet elit secara konsisten, meningkatkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa, memperkukuh industri sukan sebagai pemacu ekonomi baharu serta mewujudkan laluan pembangunan bakat yang jelas dari peringkat akar umbi hingga elit.

Beliau menegaskan peranan ISN sebagai tulang belakang kejayaan atlet negara, khususnya dalam menghadapi kejohanan utama di dalam dan luar negara.

“Dengan kemudahan dan modul yang kita ada, saya yakin persiapan ke arah temasya seperti Sukan SEA 2027 akan lebih rapi dan mampu membantu kejayaan atlet negara,” katanya.

Antara kemudahan utama yang disediakan termasuk Gimnasium Prestasi Tinggi yang dilengkapi teknologi canggih seperti analisis pergerakan tanpa penanda (markerless motion analysis), sistem pengukuran optikal dan “timing gate” bagi merekod serta menganalisis pergerakan atlet secara terperinci. Teknologi ini membolehkan pengesanan kelemahan teknik dilakukan dengan lebih tepat, sekali gus membantu jurulatih dan saintis sukan merangka intervensi yang lebih berkesan.

Selain itu, bangunan ini turut menyediakan pelbagai peralatan latihan dan ujian moden seperti peralatan latihan berasaskan kelajuan, platform daya, sistem ujian otot hamstring serta pemantauan kadar denyutan jantung yang mampu membekalkan data prestasi secara masa nyata. Kesemua data ini akan disepadukan dalam sistem pengurusan data atlet berpusat bagi membolehkan analisis dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.

Bangunan tersebut juga menempatkan makmal sains sukan bersepadu yang merangkumi makmal komposisi tubuh, psikologi sukan, kejuruteraan sukan, biokimia serta fisiologi dan pemakanan. Kemudahan ini membolehkan penilaian atlet dilaksanakan secara holistik meliputi aspek fizikal, mental dan fisiologi.

Dalam masa sama, sistem pengurusan fasiliti moden turut diperkenalkan bagi memastikan operasi yang lebih cekap, termasuk penyelarasan penggunaan kemudahan dengan pusat pemulihan, makmal biomekanik dan “altitude chamber”. Pendekatan ini menekankan penggunaan data dan bukti dalam setiap keputusan yang diambil.

Dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyTP), yang diperkenalkan sebagai dokumen strategik nasional bagi memperkukuh pembangunan bakat sukan secara sistematik dan bersepadu. Dibangunkan melalui proses libat urus dari tahun 2020 hingga 2025, MyTP melibatkan pelbagai pemegang taruh termasuk kementerian, agensi, Persatuan Sukan Kebangsaan, institusi pengajian tinggi serta rakan strategik dalam dan luar negara.

Pelaksanaan MyTP akan diterajui oleh ISN melalui Cawangan Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (TID) dengan pendekatan berfasa, melibatkan 20 Persatuan Sukan Kebangsaan bagi tempoh 2026 hingga 2030. Fasa perintis akan dimulakan pada tahun 2026 melibatkan empat persatuan sebelum diperluas secara berperingkat.

Pelan ini memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan data dan bukti dalam setiap peringkat pembangunan bakat, di samping memperkukuh standardisasi, profesionalisme serta penyelarasan ekosistem sukan negara.

Inisiatif ini dijangka mampu melahirkan atlet elit secara konsisten, meningkatkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa serta memperkukuh industri sukan sebagai salah satu pemacu ekonomi baharu negara.

Mengulas isu Sukan Malaysia (SUKMA), beliau berkata kementerian mengambil maklum cadangan penangguhan oleh Sultan Selangor, namun keputusan muktamad belum dibuat.

“Kita akan menunggu maklum balas rasmi daripada Kerajaan Negeri Selangor sebelum perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijangka diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, sebarang keputusan akan dibuat secara kolektif melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Sukan Negara Malaysia, majlis sukan negeri serta Majlis Olimpik Malaysia.

Pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mentransformasikan landskap sukan negara ke arah yang lebih moden, mampan dan berdaya saing di peringkat global.