Pempengaruh konten agama direman, disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta
Seorang pempengaruh yang banyak mengeluarkan konten agama di TikTok, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyeleweng dana sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM12.3 juta.
Menurut Berita Harian, individu dalam lingkungan usia 30-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Laporan mendakwa, penceramah bebas itu menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya serta lapan lagi akaun syarikat yang juga miliknya.
Susulan siasatan, SPRM Negeri Sembilan telah membekukan 15 akaun bank melibatkan akaun peribadi, NGO dan syarikat dengan nilai keseluruhan kira-kira RM16.5 juta.
Difahamkan wang tunai sebanyak RM6,576 telah disita, selain mata wang asing iaitu Riyal 95,568 dan Dolar Singapura (SGD) 795.
Laporan menyatakan bahawa SPRM turut menyita tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; tiga unit beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000; lima unit gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000; sebentuk cincin bernilai kira-kira RM2,000; satu unit rantai bernilai kira-kira RM7,000; serta 51 keping emas seberat satu gram dengan nilai berjumlah kira-kira RM31,000.
Perintah reman selama lima hari hingga 26 April 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi.