Selepas MP Jasin mohon maaf kepada menteri, penyokong Pas anggap tiada isu kalah saman
Penyokong Pas dilihat cakap besar pula meskipun Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sudah berlapang dada mengambil penyelesaian luar mahkamah berhubung fitnah Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dan akhbar Harakah.
Pemerhati Haniff Istiqamah berkata, kes saman yang difailkan oleh Menteri Pendidikan itu sebenarnya tidak diputuskan oleh mahkamah sebagai kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak.
Sebaliknya, Haniff yang mengikuti prosiding kes itu di mahkamah pada 20 April lalu berkata, ia diselesaikan secara persetujuan bersama di luar mahkamah.
Sehubungan itu, dia menegaskan adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak memutar naratif seolah-olah terdapat pihak yang menang mutlak atau kalah mutlak.
“Kes ini bermula apabila YB Menteri Pendidikan mengemukakan saman malu terhadap MP Jasin susulan kenyataan berhubung isu takbir dan Qunut Nazilah di sekolah.
“Isu asal yang dibangkitkan bukan direka-reka, tetapi berpunca daripada kenyataan di Parlimen yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Ramai memahami seolah-olah takbir dan qunut nazilah tidak dibenarkan di sekolah.
“Sebab itu timbul perbahasan, teguran dan permintaan penjelasan daripada pelbagai pihak,” kata Haniff dalam satu kenyataan yang turut dikongsikan di Facebook rasmi Pemuda Pas.
Kelmarin, Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli dan Harakah memohon maaf kepada Fadhlina berhubung fitnah kononnya kementerian telah melarang laungan takbir dan bacaan doa di sekolah-sekolah seluruh negara semasa Minggu Solidariti Palestin pada 2023.
Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka membacakan kenyataan permohonan maaf itu kepada Fadhlina di hadapan Hakim Hilmiah Yusof di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Selepas meneliti semula kenyataan-kenyataan tersebut, kami mengakui ia telah mengundang pelbagai tafsiran dan menyebabkan salah faham orang ramai terhadap Fadhlina yang menjejaskan nama beliau.
“Sebenarnya sekolah-sekolah dibenarkan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
“Oleh itu, kami memohon maaf kepada Fadhlina atas kenyataan itu dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Fadhlina,” kata wakil rakyat Pas berkenaan di mahkamah.
Penjelasan
Mengulas lanjut, Haniff berkata, Ahli Parlimen Pas berkenaan sebelum ini tampil menegur dan meminta penjelasan yang lebih jelas bagi pihak rakyat.
“Persoalan yang dibangkitkan mudah sahaja, iaitu sama ada perkara tersebut dibenarkan atau tidak.
“Apabila perkara ini sampai ke mahkamah, penjelasan yang dikemukakan menunjukkan bahawa kementerian sebenarnya tidak melarang amalan tersebut.
“Maka jelas bahawa kekeliruan timbul akibat kenyataan awal yang tidak cukup terang dan membuka ruang tafsiran berbeza.
“Untuk difahami rakyat, kes saman ini bukan diputuskan hakim bahawa MP Jasin kalah, sebaliknya ia diselesaikan secara persetujuan bersama di luar mahkamah,” katanya.
Justeru, Haniff berkata, tidak wajar ada pihak memutar naratif seolah-olah satu pihak menang mutlak dan satu pihak kalah mutlak.
“Nak menilai, biarlah dengan fakta. Saya cuma terkilan, bila ada gerakan cytro yang memutar belitkan isu ini,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata penyokong kerajaan berpendapat tindakan saman oleh Fadhlina sewajarnya diteruskan sahaja melihatkan sikap penyokong Pas yang memutar belit kes berkenaan.
Antaranya pengguna Facebook Abdul Qayyum yang berkata, Menteri Pendidikan sudah berlapang dada untuk penyelesaian kes di luar mahkamah sebaliknya puak Pas cakap besar.
“Elok teruskan saja saman. Tak berbaloi tiga tahun hadap makian sebab fitnah. Di dunia lepaslah, di akhirat nanti jawablah depan Allah pula,” tegasnya.
Pandangan sama disuarakan Yazid Samsuddin yang menulis, “Menteri sepatutnya saman sampai lunyai. Bila settle luar mahkamah jadi macam ni lah.”
BACA JUGA Tuduh dulu, minta maaf kemudian: Mahfuz selar amalan fitnah Pas