1 minit pun jadi: Kempen baca kilat kerajaan nak ubah tabiat rakyat?

Kementerian Perpaduan Negara hari ini melancarkan program “Jom Baca 1 Minit” sebagai usaha memperkukuh budaya ilmu dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

Dalam kenyataan media, menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu menggalakkan rakyat meluangkan sekurang-kurangnya satu minit sehari untuk membaca, tanpa mengira latar belakang atau lokasi. 

Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar aktiviti membaca ringkas, sebaliknya sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membina masyarakat berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing. 

“Budaya membaca perlu dipupuk secara konsisten. Walaupun hanya satu minit, ia mampu menjadi titik permulaan kepada amalan yang lebih besar,” katanya. 

Program tersebut turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat, dengan pendekatan inklusif bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengambil bahagian. 

Kementerian turut menekankan bahawa inisiatif ini selari dengan aspirasi memperkukuh perpaduan nasional melalui perkongsian ilmu dan aktiviti bermakna. 

Dalam masa sama, kerajaan berharap kempen ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan minat membaca dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada kandungan digital. 

Pelaksanaan “Jom Baca 1 Minit” juga dilihat sebagai usaha kreatif untuk menyesuaikan budaya membaca dengan gaya hidup moden yang serba pantas, tanpa mengabaikan kepentingan ilmu sebagai asas pembangunan negara.