Kerjasama strategik perkenal teksi EV dengan sistem tukar bateri automatik

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik menangani krisis bahan api & pembangunan teksi EV dengan sistem penukaran bateri automatik di GV Ride HQ, Taman Asa Jaya, Kajang, Selangor. 23hb April 2026 (Khamis)

Industri pengangkutan awam negara melangkah ke fasa baharu apabila empat syarikat utama memeterai kerjasama strategik bagi memperkenalkan teksi kenderaan elektrik (EV) dengan sistem penukaran bateri automatik, dalam usaha menangani krisis bahan api dan mempercepatkan peralihan ke arah mobiliti mampan. Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung di ibu pejabat GV Ride di Kajang, melibatkan EV Auto Works Sdn. Bhd., Voltgem Energies Sdn. Bhd., GV Car Import Sdn. Bhd. serta Alirantek (M) Sdn. Bhd. Turut terlibat ialah Gabungan Teksi Malaysia yang diwakili Kamarudin Mohd Hussain, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hala tuju industri teksi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, kerjasama tersebut bertujuan mempercepatkan transformasi industri teksi dan e-hailing ke arah penggunaan EV berteknologi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Menurut beliau, antara komponen utama inisiatif itu ialah sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan oleh Voltgem Energies, yang membolehkan bateri ditukar dalam masa singkat tanpa perlu menunggu proses pengecasan.

“Teknologi ini hampir menghapuskan masa henti operasi kenderaan. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah membantu pemandu menjana pendapatan lebih stabil kerana masa di jalan raya dapat dimaksimumkan,” katanya. Tambah beliau, inisiatif berkenaan juga dirangka sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap peningkatan kos bahan api yang semakin membebankan pemain industri.

Dalam usaha menarik penyertaan pemandu, satu pakej komprehensif turut ditawarkan, termasuk penggunaan sistem penukaran bateri secara percuma selama setahun, kadar sewaan kenderaan serendah RM80 sehari serta penyelenggaraan penuh merangkumi komponen haus dan lusuh. Selain itu, pemandu turut menikmati jaminan bateri, perlindungan insurans serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Kabeer turut memaklumkan bahawa semua kenderaan yang diperkenalkan mematuhi piawaian keselamatan ASEAN NCAP dan direka khusus untuk kegunaan pengangkutan awam profesional dengan penekanan terhadap keselamatan pemandu serta penumpang. Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama tersebut turut merangkumi pembangunan projek pemasangan tempatan EV secara Completely Knocked Down (CKD), yang akan memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan EV dengan teknologi penukaran bateri di Malaysia.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos kenderaan, malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi serta pengukuhan ekosistem industri EV tempatan. “Kami menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab pembangunan teknologi EV berasaskan sistem penukaran bateri di peringkat ASEAN,” katanya.

Beliau turut berharap inisiatif tersebut mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan termasuk Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Pengangkutan Malaysia. Langkah ini dijangka memberi impak jangka panjang dalam mempercepatkan peralihan kepada mobiliti elektrik nasional, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, pintar dan mesra alam.