Mengapa Setiausaha Tentera Laut AS berundur serta-merta?
Setiausaha Tentera Laut Amerika Syarikat, John Phelan dilaporkan meninggalkan jawatan secara serta-merta tanpa sebarang penjelasan rasmi, dalam perkembangan terbaharu rombakan besar kepimpinan ketenteraan negara itu.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan di platform X, sambil memaklumkan bahawa jawatan tersebut akan dipangku oleh Hung Cao.
Ketiadaan penjelasan mengenai pengunduran mengejut itu mencetuskan tanda tanya, terutama ketika Amerika Syarikat masih terlibat dalam konflik berpanjangan dengan Iran.
Perkembangan ini dilihat sebagai sebahagian daripada gelombang perubahan besar dalam kepimpinan ketenteraan di bawah pentadbiran Donald Trump, yang sejak kembali memegang jawatan tahun lalu telah melakukan beberapa penyingkiran pegawai kanan.
Antara langkah kontroversi termasuk pemecatan Pengerusi Ketua Turus Bersama ketika itu, Charles Q. Brown Jr. pada Februari 2025 tanpa penjelasan terbuka.
Selain itu, beberapa pegawai kanan lain turut digugurkan atau meninggalkan jawatan secara mengejut, termasuk dalam Tentera Laut, Pengawal Pantai, Agensi Keselamatan Negara (NSA), serta pegawai kanan Tentera Udara dan NATO.
Malah, beberapa pegawai tertinggi turut bersara awal atau berundur tanpa sebab jelas, termasuk bekas ketua Tentera Udara dan ketua Komando Selatan AS.
Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth mempertahankan langkah tersebut dengan menyatakan presiden berhak melantik kepimpinan pilihannya sendiri.
Namun, ahli politik Demokrat dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan unsur politik dalam institusi ketenteraan yang sebelum ini dianggap berkecuali.
Dalam masa sama, Pentagon turut mengarahkan pengurangan besar dalam struktur kepimpinan tentera, termasuk pemotongan 20 peratus jawatan jeneral empat bintang serta 10 peratus keseluruhan pegawai kanan.
Perkembangan ini dijangka terus mencetuskan perdebatan mengenai hala tuju kepimpinan ketenteraan Amerika Syarikat di tengah ketegangan geopolitik global yang semakin memuncak.
BACA JUGA MyKad hilang dalam kebakaran? PMX umum ganti percumaÂ