PMKS dapat ‘perisai ekonomi’ RM5 bilion lagi?
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyambut baik pengumuman kemudahan khas bernilai RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia(BNM) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan tekanan ekonomi global.
Langkah itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya sehari selepas kerajaan memperkenalkan jaminan pembiayaan RM5 bilion melalui SJPP, menjadikan keseluruhan pakej sokongan kepada PMKS kini mencecah RM10 bilion.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif tersebut penting sebagai “perisai ekonomi” kepada sektor PMKS yang paling terdedah kepada risiko ketidaktentuan global.
Menurutnya, sektor PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan pekerjaan kepada lebih 8.1 juta rakyat Malaysia.
“Suntikan ini bukan sahaja membantu usahawan bertahan, malah memastikan mereka kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, sinergi antara sokongan kerajaan dan daya usaha usahawan akan memastikan PMKS terus menjadi pemacu utama ekonomi negara serta menjamin kestabilan rantaian bekalan.
Dalam masa sama, KUSKOP akan memperkukuh pelaksanaan melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
Langkah terbaharu ini dilihat sebagai kesinambungan usaha kerajaan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik, khususnya ketika sektor PMKS berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan global.
BACA JUGA Bila Timur Tengah ‘panas’, Pulau Pinang tiba-tiba jadi Plan B dunia?