Selat Melaka milik bersama : Tok Mat tegaskan tiada keputusan unilateral
Malaysia menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan keselamatan dan pengurusan Selat Melaka tidak boleh dibuat secara unilateral, sebaliknya mesti melalui persefahaman bersama negara serantau.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Thailand mempunyai kerjasama kukuh termasuk rondaan bersama bagi memastikan keselamatan laluan perkapalan strategik itu terus terjamin.
“Apa sahaja yang ingin dilakukan di Selat Melaka mesti melibatkan keempat-empat negara. Tidak boleh dibuat secara bersendirian,” katanya ketika berucap di Forum Better Nation ke-10.
Menurutnya, prinsip tersebut selari dengan pendekatan ASEAN yang berteraskan konsensus dalam setiap keputusan, termasuk di peringkat teknikal.
Kenyataan itu dibuat dalam konteks ketidaktentuan geopolitik semasa, termasuk konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada keselamatan laluan maritim global.
Dalam masa sama, Mohamad menegaskan Malaysia akan terus memperkukuh konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) serta mengekalkan kepusatan ASEAN dalam mengurus cabaran global.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan “berkecuali secara aktif”, memandangkan Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak.
“Kita tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana pihak. Jika gagal, ekonomi kita akan terjejas,” katanya.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan kestabilan ekonomi dan keselamatan negara terus terpelihara dalam suasana geopolitik yang semakin kompleks.