UMQEI jadi penanda aras baharu, Kerajaan sokong budaya diskusi terbuka di Universiti

FOTO BERITA: Inisiatif Universiti Malaya Quality Enhancement Index (UMQEI) dilihat sebagai satu penanda aras baharu yang berpotensi diperluaskan ke universiti lain, sekali gus memperkukuh sistem penilaian kualiti institusi pengajian tinggi negara. (Gambar: FB YB Adam Adli)

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata, pembangunan indeks berkenaan berdasarkan ekosistem universiti sendiri membolehkan penilaian dilakukan secara lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada standard sedia ada. Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan UMQEI di Universiti Malaya kini dijadikan contoh oleh pihak lain dan wajar diperluaskan melalui kerjasama strategik antara institusi.

“Ini memberi peluang kepada universiti untuk mengemudi pengoperasian serta pencapaian akademik secara lebih komprehensif, selain meneroka sektor baharu dalam penilaian kualiti,” katanya. Beliau turut menggalakkan agar lebih banyak kerjasama diwujudkan bagi membangunkan model penilaian kendiri yang mampu meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara.

Mengulas isu forum anti-rasuah yang menjadi perhatian baru-baru ini, Adam Adli menegaskan bahawa kerajaan komited mempertahankan hak mahasiswa untuk bersuara dan berdiskusi secara ilmiah. Beliau berkata, kementerian sentiasa memantau perkembangan semasa dan akan memastikan ruang wacana terus terpelihara selagi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengikut garis panduan

“Kita tidak akan berkompromi dalam memastikan mahasiswa diberi ruang untuk berhujah, berdiskusi dan berbeza pendapat. Ini penting untuk mematangkan pemikiran mereka,” katanya. Dalam masa sama, beliau menggalakkan penglibatan lebih meluas dalam wacana akademik agar budaya diskusi tidak terhad kepada kelompok tertentu sahaja.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya, Noor Azuan Abu Osman menegaskan bahawa prinsip ketelusan menjadi asas utama dalam pelaksanaan sistem berkenaan. Katanya, data dan prestasi universiti akan dipaparkan secara terbuka melalui sistem papan pemuka (dashboard) yang membolehkan penilaian dibuat ke atas setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ), termasuk fakulti.

“Dalam definisi kualiti, kita perlu telus dan menunjukkan kepada umum bahawa kualiti itu untuk semua. Sistem ini membolehkan masyarakat melihat prestasi sebenar universiti secara langsung,” jelasnya. Beliau turut menegaskan bahawa universiti itu sememangnya mempunyai tradisi panjang dalam menganjurkan diskusi ilmiah dan tidak pernah menghalang sebarang program sedemikian.

Namun, beliau menekankan bahawa setiap penganjuran perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keharmonian kampus sentiasa terpelihara. “Jika diskusi dilakukan secara sihat, di tempat yang sesuai dan mengikut tatacara, universiti tidak akan menghalangnya,” katanya. Beliau menambah, keseimbangan antara kebebasan bersuara dan pematuhan peraturan adalah penting dalam mengekalkan persekitaran akademik yang kondusif.