Elak konflik, garis panduan seragam rumah ibadat bukan Islam
Kerajaan sedang memperincikan satu garis panduan baharu bagi menyeragamkan pengurusan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Menurut beliau, usaha itu sedang digerakkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan pendekatan yang lebih terselaras, teratur dan konsisten antara negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Langkah tersebut dilihat penting susulan wujudnya pelbagai pendekatan berbeza dalam menangani isu rumah ibadat bukan Islam, khususnya yang melibatkan tanah milik kerajaan.
Hannah berkata, penyelarasan garis panduan ini akan membantu kerajaan mengurus isu berkaitan RIBI secara lebih sistematik, termasuk dari segi kelulusan, pemantauan serta tindakan penguatkuasaan.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Wilayah Persekutuan Bilangan 1/2026 yang dipengerusikannya baru-baru ini.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah mengenal pasti sebanyak 163 rumah ibadat bukan Islam yang berada di atas tanah kerajaan melalui pemetaan mengikut kawasan Parlimen.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan inklusif, kerajaan turut melibatkan ahli Parlimen Kuala Lumpur serta Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dalam proses perbincangan.
Sebanyak 11 jawatankuasa kecil akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh ahli Parlimen bagi mengendalikan rundingan di peringkat kawasan masing-masing.
Sementara garis panduan sedang dimuktamadkan, kerajaan menetapkan bahawa sebarang pembinaan baharu atau penambahan struktur rumah ibadat tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan tidak akan dibenarkan.
Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan mengikut undang-undang, dengan pendekatan berhemah serta mengambil kira sensitiviti komuniti.
Hannah menegaskan bahawa usaha menyeragamkan garis panduan ini bukan sekadar soal peraturan, tetapi juga untuk memastikan keseimbangan antara keperluan komuniti, pematuhan undang-undang dan keharmonian masyarakat majmuk.
“Pendekatan yang jelas dan seragam akan membantu semua pihak memahami proses serta mengelakkan konflik pada masa hadapan,” katanya.
BACA JUGA “Ada 120 calon?” PM beri bayangan pelantikan baharu KP SPRM