Duit konservasi susut, laut kita selamat ke?
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memperkukuh usaha pembiayaan konservasi marin melalui Kumpulan Wang Amanah Taman Laut dan Rizab Laut (KWATLRL), susulan penurunan kutipan dana bagi tahun kewangan 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, DOF memaklumkan kutipan fi pemuliharaan dan aktiviti bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 berjumlah RM5.75 juta, menurun sebanyak RM374,188.39 berbanding tahun sebelumnya.
Mesyuarat berkaitan perkara itu diadakan di Taman Laut Pulau Lang Tengah dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.
Menurut beliau, Malaysia kini memasuki fasa baharu tadbir urus lautan yang berteraskan sains, kerjasama rentas sektor dan komitmen terhadap kelestarian jangka panjang.
“KWATLRL kekal sebagai mekanisme utama dalam menyokong pengurusan dan pembiayaan konservasi marin negara,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 84 Kawasan Perlindungan Marin (MPA) telah diwartakan meliputi keluasan 29,844.08 kilometer persegi, bersamaan 5.54 peratus daripada keseluruhan perairan negara.
Pencapaian itu selari dengan komitmen global sasaran 30×30, selain menyokong keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi biru negara.
Sehubungan itu, DOF memaklumkan pihaknya akan mempergiat usaha menarik penglibatan sektor swasta melalui sumbangan, penajaan serta kerjasama strategik.
Inisiatif tersebut turut disokong insentif potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi menggalakkan penyertaan industri dalam agenda pemuliharaan marin.
Dalam pada itu, DOF turut melaksanakan program kesedaran awam termasuk aktiviti pembersihan pantai, kempen bebas plastik dan pelepasan anak penyu sebagai simbol komitmen terhadap pemeliharaan biodiversiti marin.
BACA JUGA Iran dakwa musuh curi air hujan mereka, kini terbukti