“Main sebar cerita diesel?” – MCMC panggil individu, telefon terus disita

Tindakan seorang individu yang didakwa menyebarkan berita palsu mengenai pembekalan diesel ke Filipina mengundang siasatan pihak berkuasa, apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memanggilnya untuk dirakam percakapan.

Menurut kenyataan, individu tersebut hadir ke ibu pejabat MCMC bersama peguamnya bagi membantu siasatan berhubung kandungan yang tular di platform digital.

Dalam masa sama, MCMC turut menyita sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM milik individu berkenaan di bawah Seksyen 248, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah itu diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap bahan yang disyaki disebarkan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 akta sama, yang melibatkan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi.

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh berdepan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang belum disahkan.