Pecah rekod lagi! Kutipan cukai cecah RM203.991 bilion, bukti kerajaan MADANI di landasan tepat
Pentadbiran kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membuktikan keupayaannya mengurus ekonomi negara secara berkesan apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) mencatat kutipan cukai tertinggi dalam sejarah sebanyak RM203.991 bilion bagi tahun 2025.
Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan tadbir urus kerajaan, malah menandakan keyakinan rakyat dan perniagaan terhadap sistem percukaian yang semakin telus dan berintegriti.
Perdana Menteri berkata, kutipan cukai tertinggi buat kali pertama dalam sejarah itu disifatkan sesuatu yang luar biasa.
Beliau berkata, kutipan cukai itu mencatatkan peningkatan sebanyak RM19.186 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Hasil daripada prestasi kutipan yang lebih kukuh, kerajaan dapat memperuntukkan tambahan dana bayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang tertunggak, sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus.
“Sesungguhnya sistem percukaian yang baik bukan sekadar cekap mengutip, tetapi juga adil dan saksama,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Sambutan Hari HASiL ke-30 Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.
Menurut Anwar, HASiL mesti terus memperkukuh keupayaan analitik dan pendigitalan dalam dunia yang dilanda ketidaktentuan.
Jelasnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi perlu diperkasa untuk meningkatkan kecekapan mengurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan.
“Dalam masa yang sama, perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat dan diperkemas.
“Matlamatnya bukan sekadar kutipan cukai yang lebih tinggi, tetapi sistem percukaian yang lebih adil, telus dan diyakini,” katanya.
Tambahnya, cukai bukan sekadar kewajipan undang-undang, ia amanah bersama yang membolehkan negara membiayai pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial dan pembangunan.
“Justeru, hasil negara mesti diurus dengan amanah, integriti dan ketelusan,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Padah fitnah pemimpin DAP, MP Pas kekal bayar RM825,000 berkait isu komunis