AMANAH ‘naik angin’ isu didakwa klept zakat, lapor di Dang Wangi

Biro Komunikasi Parti AMANAH Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah di media sosial yang mengaitkan parti itu dengan isu penyelewengan dana zakat.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan penularan satu hantaran Facebook bertajuk “Formula Klept Duit Zakat” yang didakwa menuduh AMANAH terlibat dalam salah laku berkaitan dana berkenaan.

Pengerusi Biro Komunikasi Amanah Wilayah Persekutuan, Razali Ibrahim berkata, beliau menyedari hantaran tersebut pada 23 April lalu.

Menurutnya, kandungan berkenaan bersifat fitnah dan berniat jahat, selain mencemarkan imej Amanah sebagai parti yang berteraskan Islam.

“Tuduhan ini bukan sahaja menyerang parti, malah merupakan penghinaan kepada institusi pengurusan Islam di Malaysia,” katanya dalam laporan itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit.

Razali turut memohon agar tindakan tegas diambil di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 5 Akta Fitnah 1957, serta Seksyen 500, 501 dan 298A Kanun Keseksaan.

Selain laporan polis, AMANAH turut mengadakan sidang media di lokasi sama bagi memberi penjelasan lanjut kepada pihak media.

Program tersebut dihadiri pimpinan AMANAH, ahli jawatankuasa biro komunikasi, ahli parti di peringkat kawasan dan cawangan, serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Setakat ini, belum ada sebarang maklum balas daripada individu atau pihak yang dikaitkan dengan hantaran Facebook berkenaan.

BACA JUGA SPRM dapat bos baru, siapa Abdul Halim Aman?