Kos rawatan bebankan pesakit, Dr. Sathia umum rawatan percuma penghuni Pusat Kebajikan Bonda Juwanda

FOTO BERITA: Program Serahan Barang Kesihatan oleh Dr. Sathia Prakash Nadarajan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Pusat Kebajikan Bonda Juwanda, Golf Club Bukit Beruntung 9, Lorong Orkid 1B, Bandar Bukit Beruntung, Hulu Selangor, Selangor. 24hb April 2026 (Jumaat)

Keprihatinan terhadap kebajikan golongan memerlukan terus dizahirkan apabila satu Majlis Penyerahan Barang Kesihatan. Program tersebut disempurnakan oleh Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan yang turut menyampaikan pelbagai keperluan kesihatan kepada penghuni pusat berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau memohon maaf atas kelewatan hadir sebelum menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Katanya, walaupun lokasi Hulu Selangor yang luas dan mencabar dari segi jarak, usaha membantu masyarakat tetap menjadi keutamaan.

Menurut beliau, Pusat Kebajikan Bonda Juwanda masih kurang dikenali ramai, namun memainkan peranan penting dalam menjaga golongan warga emas dan individu memerlukan. Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan serta sokongan.

“Tujuan saya panggil media hari ini adalah supaya semua tahu kewujudan tempat ini. Kita mahu ia menjadi tempat yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin membantu,” katanya. Dr. Sathia turut mengumumkan inisiatif untuk menyediakan rawatan kesihatan percuma kepada penghuni pusat tersebut dengan kerjasama Sukarelawan Perubatan Komuniti (SPK), termasuk di kawasan Bukit Beruntung.

Beliau menjelaskan bahawa keperluan rawatan asas seperti penukaran tiub pemakanan (Ryle’s tube) sering menjadi beban kepada penghuni, terutama apabila melibatkan kos ambulans yang boleh mencecah ratusan ringgit. “Saya sedih apabila dimaklumkan ada yang terpaksa menunggu dua hari dan perlu membayar lebih RM400 hanya untuk prosedur ringkas. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang sedang membangun seperti Malaysia,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha menyediakan rawatan percuma akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan, dengan matlamat jangka panjang untuk memastikan akses kesihatan lebih menyeluruh kepada rakyat.Dalam masa sama, beliau turut menyeru masyarakat untuk terus memainkan peranan membantu institusi kebajikan seperti ini, termasuk berhubung terus dengan pihak pengurusan pusat bagi mengenal pasti keperluan semasa.
