Nelayan tembus pasaran halal? LKIM jumpa JAKIM

Usaha memperkasakan industri nelayan kini dipacu ke arah pensijilan halal apabila Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi membincangkan kerjasama strategik.

Ahli Lembaga Pengarah LKIM, Faiz Fadzil Noor berkata pertemuan bersama Bahagian Pengurusan Halal JAKIM itu bertujuan memperkukuh kualiti produk hasil laut yang diusahakan oleh persatuan nelayan serta usahawan bimbingan agensi tersebut.

Menurutnya, pensijilan halal dilihat sebagai pemangkin penting dalam memperluas penglibatan nelayan dalam sektor hiliran, sejajar dengan agenda 1 Persatuan 1 Produk (1P1P).

“Pensijilan halal mampu mengangkat kekuatan Persatuan Nelayan untuk lebih aktif dalam bidang hiliran,” katanya yang juga Setiusaha Agung Parti AMANAH.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JAKIM atas komitmen yang ditunjukkan dalam menyokong usaha memperkasa produk tempatan.

Langkah itu dilihat membuka ruang kepada persatuan nelayan untuk menembusi pasaran lebih luas, termasuk industri halal yang semakin berkembang di peringkat domestik dan antarabangsa.