Polemik 168 ekar hutan Puchong: Amiruddin tampil luruskan fakta
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menolak dakwaan berhubung pembangunan di kawasan berhampiran Hutan Ayer Hitam, Puchong, dengan menegaskan ia berpunca daripada maklumat tidak tepat yang disebarkan.
Menurut beliau, tiga dakwaan utama yang tular termasuk status tanah sebagai hutan simpan, kelulusan pembangunan dan penjualan di bawah harga pasaran adalah tidak berasas.
“Tanah seluas 168 ekar itu bukan Hutan Simpan Kekal. Ia telah dinyahwarta sejak 1926, lebih 100 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Amirudin berkata kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan tersebut, malah permohonan terdahulu telah ditolak kerana faktor keselamatan.
Menurutnya, sekitar 75 peratus kawasan berkenaan dikategorikan sebagai cerun Kelas III dan IV yang tidak sesuai untuk pembangunan.
Beliau menjelaskan projek perumahan yang pernah dicadangkan pada 1990-an akhirnya dibatalkan pada 2010, sebelum disahkan oleh keputusan mahkamah termasuk di peringkat Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa sama, Amirudin turut menafikan dakwaan bahawa tanah tersebut dijual di bawah harga pasaran.
Sebaliknya, katanya, tanah itu dijual melalui tender terbuka pada harga RM101 juta, iaitu kira-kira 5.9 peratus lebih tinggi daripada nilai pasaran yang ditetapkan oleh juruperunding hartanah.
Perkembangan itu dimaklumkan selepas beliau mengadakan pertemuan bersama wakil 14 persatuan penduduk di Puchong bagi menjelaskan isu berkenaan yang menimbulkan keresahan komuniti setempat.
Dalam pertemuan tersebut, penduduk turut mencadangkan agar laluan rekreasi menuju ke Hutan Ayer Hitam dikekalkan.
Amirudin berkata cadangan itu akan dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan, termasuk rundingan dengan pemilik tanah bagi memastikan kepentingan komuniti terus terpelihara.
Isu ini sebelum ini menjadi polemik susulan penyebaran maklumat yang mengaitkan kawasan tersebut dengan pembangunan komersial, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar.