Tak mahu bergantung satu sumber — Malaysia -Vietnam rangka program strategik

Malaysia memperkukuh langkah mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan makanan apabila memeterai kerjasama strategik dengan Vietnam, yang dilihat sebagai rakan penting dalam menjamin kestabilan rantaian makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerjasama itu bukan sekadar hubungan dagang, sebaliknya sebahagian strategi jangka panjang bagi menghadapi ketidaktentuan bekalan global.

Menurutnya, Malaysia perlu mempelbagaikan sumber bekalan bagi memastikan sekuriti makanan kekal terjamin, terutama dalam suasana dunia yang terkesan oleh konflik geopolitik, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi.

Kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) itu turut membuka ruang kepada akses bekalan makanan yang lebih stabil, termasuk komoditi penting seperti beras, memandangkan Vietnam merupakan antara pengeksport utama ke Malaysia.

Dalam masa sama, usaha itu dilihat mampu membantu mengekalkan harga makanan yang lebih kompetitif di pasaran tempatan.

Selain itu, Malaysia turut menyasarkan peningkatan akses pasaran ke Vietnam bagi produk nilai tambah tempatan seperti berasaskan ayam, telur diproses, produk itik, sarang burung walit dan makanan haiwan peliharaan.

Perkembangan itu menunjukkan pendekatan baharu kerajaan dalam mengurus sekuriti makanan — bukan sekadar memastikan bekalan, tetapi membina jaringan strategik serantau yang lebih kukuh