“Tingkatan 6 pun dapat elaun?” PM kata dah setuju
Kerajaan memberi bayangan positif untuk menyamakan elaun pelajar Tingkatan 6 dengan matrikulasi, dengan keputusan dasar sudah dipersetujui dan kini menunggu kaedah pelaksanaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu selari dengan perubahan struktur pendidikan apabila sistem prauniversiti kini diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Elaun Tingkatan 6 dengan matrikulasi, saya setuju untuk disamakan. Kita tengah teliti sebab keputusan dasar telah dibuat, cuma kaedah pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pelajar Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, selepas menerima soalan daripada pelajar mengenai isu ketidaksamaan elaun.
Ketika ini, pelajar matrikulasi menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) sebanyak RM250 sebulan, manakala pelajar Tingkatan 6 tidak menikmati kemudahan sama.
Menurut Anwar, penstrukturan semula itu penting kerana pelajar Tingkatan 6 kini dikategorikan sebagai sebahagian daripada pendidikan pasca sekolah, sama seperti matrikulasi.
Beliau turut menegaskan bahawa kemudahan seperti elaun dan biasiswa seharusnya diselaraskan bagi semua pelajar prauniversiti di bawah sistem baharu.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh akses pendidikan tinggi yang lebih adil, selain mengiktiraf peranan Tingkatan 6 dalam laluan akademik negara.