Zakat bukan suka-suka kutip, titah Sultan Selangor
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggesa umat Islam supaya memahami kepentingan menunaikan zakat melalui saluran yang sah serta memastikan pengagihan dilakukan secara telus kepada golongan asnaf yang berhak.
Menerusi hantaran Selangor Royal Office, baginda bertitah bahawa setiap negeri mempunyai sistem pungutan dan agihan zakat tersendiri bagi memastikan kebajikan asnaf diurus secara teratur dan berkesan.
Sehubungan itu, baginda menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tidak sepatutnya melangkaui sempadan negeri untuk membuat kutipan zakat tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri lain.
Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Sharafuddin menyeru rakyat Selangor menghayati khutbah Jumaat bertajuk Tunaikan Zakat Kepada Amil Bertauliah, sambil mengingatkan bahawa zakat bukan sekadar kewajipan agama, tetapi memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi umat Islam.
Di Selangor, urusan zakat dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Selangor yang mewakilkan tanggungjawab tersebut kepada Lembaga Zakat Selangor, dengan perkenan baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa zakat yang dikutip dalam sesebuah negeri hendaklah diagihkan kepada asnaf dalam negeri tersebut, selain menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh berdiam diri jika berlaku penyelewengan yang menafikan hak golongan memerlukan.
“Jangan berdiam diri dan menyembunyikan perkara salah yang berlaku, bimbang kita tergolong dalam golongan yang membantu kemungkaran,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menegaskan bahawa hanya amil bertauliah diberi kuasa untuk mengutip zakat di negeri masing-masing. Ketua Pengarahnya, Sirajuddin Suhaimee, berkata tindakan pihak dari negeri lain mengutip zakat di negeri berbeza adalah satu kesalahan dan telah diputuskan di peringkat nasional.
Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia sebelum dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja dan mendapat perkenan. Justeru, tindakan kini terletak di peringkat negeri untuk mengambil langkah terhadap mana-mana pihak yang melanggar ketetapan tersebut.
“Hanya amil yang bertauliah bagi negeri tersebut sahaja yang layak dan bertanggungjawab untuk mengutip zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan penyelewengan dana zakat yang tular kebelakangan ini, Sirajuddin berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengambil maklum perkara tersebut, namun menegaskan bahawa majlis agama Islam negeri tidak terlibat.
Beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak membuat kesimpulan awal dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.