Padah perlekeh tugas anggota, polis Kelantan sahkan kertas siasatan dibuka
Polis Kelantan telah membuka satu kertas siasatan terhadap seorang individu yang didakwa memperlekeh tugasan pihak berkuasa dan mengeluarkan ucapan yang berunsur memperbodohkan anggota polis.
Dalam satu kenyataan petang ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat seorang pegawai kanan polis berhubung satu rakaman video tular di media sosial.
Video yang dimuat naik di Facebook itu memaparkan seorang individu yang memperlekeh anggota polis.
Individu itu mendakwa, dia telah beberapa kali melepasi sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.
“Kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti PDRM,” tegasnya.
Sehubungan itu pihak polis telah membuka keryas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Polis menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan keselamatan atau menghakis keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang toleransi.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.