Pelantikan KP SPRM bukan sekadar tukar orang, tapi uji komitmen perangi rasuah
Pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai satu ujian penting terhadap komitmen negara memerangi rasuah.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa integriti tidak terletak pada jawatan, sebaliknya dibuktikan melalui tindakan, keberanian dan kebertanggungjawaban institusi.
Menurut beliau, pelantikan tersebut bukan sekadar perubahan kepimpinan, tetapi satu peluang untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah negara.
Katanya, integriti tidak terzahir melalui kenyataan atau simbolik semata-mata, sebaliknya melalui keputusan yang dibuat secara telus, siasatan yang diteruskan tanpa gentar serta keadilan yang tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Beban tanggungjawab semata-mata tidak akan menggerakkan perubahan. Yang menggerakkannya adalah keberanian. Yang menggerakkannya adalah iltizam. Yang menggerakkannya adalah rakyat.
“Bertahun-tahun lamanya, ramai yang telah menzahirkan desakan demi desakan. Kita mendesak tatkala ia tidak selesa.
“Meskipun usaha ini tidak pernah mudah, tidak pernah singkat, tetapi percayalah, ia tidak pernah sia-sia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Izzah berkata, pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya baharu tidak dengan sendirinya melahirkan sebuah SPRM yang baharu.
Ini kerana rakyat pernah melihat pelantikan yang diraikan dengan penuh gemilang, namun kemudiannya disusuli dengan keraguan, kompromi yang senyap, dan keadilan yang ditangguhkan sehingga akhirnya dinafikan.
Beliau menegaskan, reformasi sebenar kadangkala tidak lantang dan tidak semestinya menarik perhatian.
Ia berlaku melalui semakan terhadap Akta SPRM, melalui pengukuhan perlindungan institusi, melalui kebertanggungjawaban yang sebenar kepada Parlimen, yang bukan sekadar formaliti tetapi sebagai asas yang kukuh.
“Justeru, seruan saya kepada setiap rakyat Malaysia yang pernah melahirkan kemarahan terhadap rasuah, jangan berpaling. Jangan biarkan detik ini berlalu begitu sahaja. Teruslah melibatkan diri. Kerana perubahan tidak berlaku ke atas kita, ia berlaku kerana kita, insya-Allah. Semoga Malaysia terus teguh mendepani cabaran zaman,” tulisnya lagi.