Syahir kena terus terang, nak diesel naik macam Semenanjung ke turun macam Sabah Sarawak?

Seorang anggota PKR mengkritik ulasan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang disifatkan seperti ada idea, tetapi gagal menterjemahkan kepada cadangan yang jelas.

Pengarah Komunikasi PKR Cabang Lumut, Mohd Ikhmal Iskandar berkata, Syahir perlu menjelaskan cadangannya tentang penyelarasan harga diesel, sama ada beliau mahu ia dinaikkan seperti di Semenanjung atau diturunkan sama seperti di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, hujah wakil rakyat Pas itu sebagai tergantung kerana tiada penjelasan konkrit seperti siapa yang akan dapat manfaat daripada pelarasan ini, siapa yang perlu bayar lebih, dan bagaimana dengan golongan petani, nelayan serta peniaga kecil.

“Rakyat bukan bodoh. Bila sebut “selaras harga”, orang nak tahu maksud sebenar. Selaras naik ke? Selaras turun ke? Siapa kena bayar lebih? Siapa dapat bantuan? Petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga kecil macam mana?

“Tapi jawapan tak ada. Hujah mati takat situ. Inilah masalahnya. Banyak sangat ayat nampak cerdik tapi bila sampai benda penting, dia berhenti. Macam orang tunjuk simpang, tapi tak bagitahu jalan mana nak ambil.

“Kalau maksudnya harga diesel Sabah dan Sarawak perlu dinaikkan supaya sama dengan Semenanjung, cakap saja. Jangan sorok belakang perkataan penyelarasan,” katanya sambil mempersoal adakah Pas takut akan dilabel anti-Borneo.

Mohd Ikhmal yang mempunyai latar belakang dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengangkutan) berkata, isu logistik bukan isu kecil kerana melibatkan realiti kos logistik yang berbeza di Sabah dan Sarawak, termasuk kawasan pedalaman yang bergantung kepada diesel bagi aktiviti harian seperti pertanian, perikanan dan perusahaan kecil.

Beliau berkata, sebagai individu yang sering dilihat sebagai “pakar ekonomi Pas”, Syahir sepatutnya mengemukakan pelan yang lebih konkrit, termasuk apa pelan yang mampu ditawarkan sekiranya subsidi minyak sebanyak RM4 bilion sebulan dianggap tidak lagi mampan.

Namun menurutnya, perkara itu tidak diperincikan dan tiada cadangan jelas yang dikemukakan.

“Sabah dan Sarawak ada kos logistik sendiri. Ada kawasan pedalaman. Ada nelayan. Ada petani. Ada pekebun kecil. Ada orang kampung yang hidupnya memang bergantung pada diesel. Jadi kalau nak usik harga, kena jelas. Jangan tulis macam hebat, tapi maksud sebenar disorok,” ujarnya.

Mohd Ikhmal juga berpendapat, tulisan Syahir bercampur aduk apabila di penghujungnya beralih kepada isu royalti minyak, Akta Petroleum dan sempadan laut tanpa kaitan yang jelas dengan perbincangan subsidi.

“Hujung-hujung tulisan, dia belok pula ke royalti minyak, Akta Petroleum, Akta Laut Wilayah dan 3 batu nautika. Habis tu sebenarnya nak bincang subsidi ke nak ulang cerita royalti?

“Dua-dua isu penting, tapi jangan campur sampai jadi kuah rojak. Subsidi ni soal harga minyak rakyat, bantuan bersasar, ketirisan dan duit kerajaan. Royalti pula soal agihan hasil antara pusat dan negeri. 

“Kalau nak bincang dua-dua, sambungkan dengan hujah yang kemas. Jangan main cantum saja,” tegurnya lagi.

BACA JUGA Bukan saja di Malaysia, dekat Vietnam pun Abang Mat masak