KIBAR 2026 perkasa belia akar umbi, dekatkan suara anak muda dengan kepimpinan

FOTO BERITA: Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari telah menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Sarawak Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Kampung Semeba, Sarawak. (Gambar: UKK KBS)

Turut hadir ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi anak Bimol; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Gerald Rentap Jabu; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail; Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YBrs. Tuan Dzulkornain Masron serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, YBrs. Puan Azura Abidin.

Program KIBAR 2026 merupakan inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dirangka dengan pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi memperkasa golongan belia akar umbi, khususnya mereka yang tidak berpersatuan. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan penyertaan belia dalam ekosistem persatuan, mendekatkan golongan muda dengan kepimpinan kerajaan serta membuka ruang untuk mereka menyampaikan aspirasi secara langsung. Selain itu, program ini turut meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab belia terhadap pembangunan negara.

Sebanyak 17 siri program akan dilaksanakan di seluruh negara melibatkan setiap negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala Sabah dan Sarawak masing-masing akan menjadi tuan rumah kepada dua siri program. Pendekatan ini memastikan capaian menyeluruh termasuk ke kawasan luar bandar dan pedalaman. Program ini turut mendapat sokongan agensi kerajaan negeri, pemimpin tempatan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan pelaksanaan yang holistik dan berkesan.

Antara fokus utama KIBAR 2026 ialah pengukuhan nilai kesukarelawanan, pembudayaan semangat rakan prihatin dalam komuniti serta pembangunan kepimpinan dalam kalangan belia akar umbi. KBS menjangkakan program ini akan memberi impak positif melalui peningkatan penyertaan belia dalam persatuan dan komuniti, pengukuhan hubungan antara belia dan kepimpinan negara serta melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berwawasan.

Kementerian turut berharap KIBAR 2026 menjadi pemangkin kepada gerakan pembangunan belia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan demi masa depan negara. Belia yang berminat menyertai program ini boleh menghubungi Jabatan Belia dan Sukan Negeri masing-masing atau Sekretariat Induk KIBAR di Kementerian Belia dan Sukan melalui talian 03-8871 3000 untuk maklumat lanjut.