AI kita perlu bangkit sebagai pencipta 

Peluncuran Huawei AI Lab and Innovation Centre dilihat sebagai langkah penting dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam era kecerdasan buatan (AI).

Dalam ucapan sempena majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menegaskan negara tidak boleh terus berada dalam posisi sebagai pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu bangkit sebagai pencipta dan penentu arah pembangunan AI.

Menurutnya, Malaysia harus berani membina kekuatan sendiri dengan memanfaatkan sepenuhnya bakat tempatan, selari dengan aspirasi untuk menjadi pemain utama dalam landskap teknologi global.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada nilai kemanusiaan.

“Dalam keghairahan dunia mengejar kecanggihan AI, kita tidak boleh alpa bahawa kemajuan tanpa nilai hanya akan meruntuhkan makna pembangunan itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, prinsip keadilan, ihsan dan keseimbangan sosial perlu terus dijadikan asas dalam pembangunan teknologi bagi memastikan manfaatnya dinikmati secara menyeluruh tanpa melebarkan jurang sedia ada.

Kerajaan juga memberi jaminan bahawa transformasi digital di bawah kerangka Malaysia MADANI akan terus bersifat inklusif dan berteraskan rakyat.

Pendekatan itu termasuk usaha merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan, serta memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat secara adil dan saksama.

Dalam masa sama, Malaysia kekal terbuka kepada kerjasama antarabangsa, namun menegaskan bahawa setiap inisiatif mesti dipacu mengikut acuan sendiri berasaskan nilai tempatan.

Langkah itu dilihat penting bagi menjamin masa depan negara yang lebih maju, berdaulat dan bermaruah dalam era teknologi yang semakin mencabar.

BACA JUGA Krisis Negeri Sembilan, ini 3 fakta penting yang perlu anda tahu