AMANAH ‘reject’ kerajaan tebuk atap

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan pendirian tegas menolak sebarang usaha membentuk kerajaan melalui kaedah “tebuk atap” susulan krisis politik yang sedang memuncak di Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan malam ini, Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu menegaskan bahawa langkah menukar kerajaan tanpa mandat rakyat hanya akan menggugat kestabilan politik dan menjejaskan pentadbiran negeri.

Menurut AMANAH, sebarang perubahan kerajaan seharusnya dibuat melalui proses demokrasi yang sah, bukannya melalui percaturan politik yang tidak mendapat mandat rakyat.

Kenyataan itu dilihat merujuk kepada perkembangan semasa apabila 14 Adun Umno-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH), sekali gus membuka ruang kepada pembentukan kerajaan baharu.

Dalam masa sama, Perikatan Nasional (PN) dilaporkan bersedia bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya perubahan pentadbiran tanpa pilihan raya.

“AMANAH menegaskan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja mencabar prinsip demokrasi, malah berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem politik sedia ada,” kata Setiausaha Agungnya, Mohamad Faiz Fadzil.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti berkenaan yang turut membincangkan perkembangan politik terkini di Negeri Sembilan.

BACA JUGA Pemuda Umno pun ‘tolak’ tebuk atap di Negeri Sembilan