DPN 2.0 jadi anjakan baharu kepenggunaan negara — Ahmad Zahid Hamidi

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penguatkuasaan 2025 oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri. Turut hadir YB Datuk Armizan Mohd Ali Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Cyber Event Hall, Cyberjaya Jalan Teknokrat 7, Cyber 5, Cyberjaya, Selangor. 28hb April 2026 (Selasa)

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 bersempena Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke-54, dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna selari dengan cabaran era digital

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penguatkuasaan 2025 yang berlangsung di Cyber Event Hall, Cyberjaya, hari ini. Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali serta Timbalan Menteri, Fuziah Salleh.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa landskap kepenggunaan negara telah berubah secara drastik dengan kemajuan teknologi, di mana pengguna kini membuat keputusan pembelian melalui platform digital yang menawarkan pelbagai pilihan di hujung jari.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kemudahan tersebut turut membuka ruang kepada pelbagai risiko termasuk penipuan dalam talian, manipulasi harga serta eksploitasi data peribadi.

“Tahun lalu sahaja, hampir 68,000 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian melebihi RM2.8 bilion, dan paling membimbangkan, mangsa melibatkan golongan rentan termasuk warga emas,” katanya.

Menurut beliau, DPN 2.0 merupakan kesinambungan kepada dasar yang diperkenalkan pada 2002, namun kini diperkasakan dengan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh bagi menangani cabaran perdagangan digital, termasuk pengaruh kecerdasan buatan (AI) dan kepentingan keselamatan data.

“Ini bukan sekadar penambahbaikan dasar, tetapi satu anjakan pemikiran — kita melihat pengguna bukan lagi sebagai pembeli semata-mata, sebaliknya sebagai rakan strategik ekonomi negara,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan membina kepercayaan dalam ekosistem pasaran sebagai asas kepada kestabilan dan pertumbuhan mampan.

Sehubungan itu, beliau menggariskan dua keutamaan utama iaitu memperkukuh literasi pengguna dan digital dalam kalangan rakyat serta meningkatkan integriti dan akauntabiliti pasaran digital melalui penambahbaikan undang-undang, termasuk cadangan ke arah penggubalan akta khusus bagi perdagangan digital.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada anggota penguat kuasa KPDN yang disifatkan sebagai “frontliners” dalam melindungi kepentingan pengguna sejak lebih lima dekad lalu. Beliau berkata, kejayaan operasi seperti Ops Tiris yang mencatatkan rampasan melebihi RM260 juta sejak 2023 serta pelaksanaan lebih sejuta pemeriksaan dalam tempoh setahun membuktikan komitmen tinggi pasukan itu dalam membanteras penyelewengan subsidi dan jenayah perdagangan.

Ahmad Zahid turut menyatakan sokongan terhadap cadangan menaik taraf Bahagian Penguat Kuasa KPDN kepada sebuah jabatan penuh bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan yang semakin mencabar, termasuk dalam ruang digital.

“Penguatkuasaan hari ini tidak boleh lagi bersifat konvensional. Ia mesti memanfaatkan teknologi, data dan risikan bagi memastikan tindakan yang lebih pantas dan tepat,” katanya.berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesuatu dasar tidak terletak pada dokumen semata-mata, tetapi sejauh mana pelaksanaannya memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat.

“Perlindungan pengguna bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan negara. Dengan dasar yang jelas dan pelaksanaan berkesan, kita mampu membina ekosistem yang lebih telus, adil dan diyakini rakyat,” katanya.

Beliau kemudian melancarkan secara rasmi Dasar Pengguna Negara 2.0 sebagai langkah memperkukuh kesejahteraan pengguna dan daya tahan ekonomi negara.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 bukan sekadar dasar baharu, tetapi satu usaha menyeluruh untuk memperkasa pengguna dalam menghadapi cabaran ekonomi dan digital masa kini.

Menurut Armizan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merupakan sebuah kementerian unik yang menggabungkan tiga teras utama iaitu peranan ekonomi dalam memacu perdagangan domestik, fungsi sosial dalam aspek kepenggunaan, serta tanggungjawab penguatkuasaan melibatkan 28 akta di bawah kawal selia.

“Sambutan Hari Penguat Kuasa bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu pengiktirafan kepada pasukan yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan undang-undang perdagangan dipatuhi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sejak penubuhan pasukan penguat kuasa pada tahun 1972 dengan hanya 12 anggota, peranan mereka kini semakin luas dan kompleks, meliputi isu seperti transaksi dalam talian, manipulasi harga, ketirisan subsidi serta pelbagai bentuk pelanggaran dalam rantaian perdagangan moden.

Sehubungan itu, katanya, KPDN memberi penekanan kepada konsep “enforcer-educator”, iaitu penguat kuasa bukan sahaja bertindak sebagai penguat kuasa undang-undang, tetapi juga sebagai pendidik kepada masyarakat dalam meningkatkan kesedaran pengguna.

Dalam perkembangan sama, Armizan memaklumkan bahawa capaian media sosial KPDN di seluruh negara kini mencecah jutaan tontonan dan pengikut, sekali gus memperkukuh peranan kementerian dalam mendekati rakyat melalui pendekatan komunikasi digital.

Menyentuh mengenai DPN 2.0, beliau berkata dasar tersebut bertujuan melahirkan pengguna yang bermaklumat, bijak dan berdaya tahan, di samping mewujudkan ekosistem kepenggunaan yang inklusif, selamat dan adil.

“Pengguna adalah rakyat, dan semua rakyat adalah pengguna. Maka, isu kepenggunaan tidak boleh dipisahkan daripada aspek kos sara hidup serta kuasa beli rakyat,” katanya.

Beliau turut mengakui cabaran besar yang dihadapi kerajaan susulan konflik global yang memberi kesan kepada harga tenaga dan bekalan, sekali gus mempengaruhi harga barangan pengguna.

Sebagai langkah mitigasi, katanya, kerajaan terus melaksanakan pelbagai intervensi termasuk mengekalkan subsidi petrol RON95, yang kini mencecah lebih RM6 bilion sebulan sepanjang tempoh krisis.

“Ini bermakna kerajaan membelanjakan sekitar RM200 juta sehari untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api,” jelasnya. Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan dasar dan intervensi kerajaan memerlukan penyertaan aktif masyarakat, selaras dengan tema DPN 2.0 iaitu “Aktivisme Pengguna: Suara Kita, Kuasa Kita”.

Menurutnya, aktivisme pengguna bukan sahaja berkaitan hak, tetapi juga kebijaksanaan dalam membuat keputusan perbelanjaan, termasuk mengelakkan pembelian berasaskan kehendak semata-mata atau fenomena “fear of missing out” (FOMO).

“Seruan untuk berbelanja secara berhemah mungkin tidak popular, tetapi ia amat penting dalam memastikan kesejahteraan kewangan rakyat,” katanya. Beliau turut menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan dan media untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan DPN 2.0. “Pencapaian dasar ini menuntut kerjasama semua pihak. Hanya dengan kebersamaan, kita mampu membina ekosistem kepenggunaan yang lebih mampan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.