Krisis Negeri Sembilan: Politik khianat, tebuk atap mesti ditolak – AMANAH

AMANAH Negeri Sembilan menegaskan bahawa keputusan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai tindakan khianat dan mencabuli mandat rakyat.

Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, berkata AMANAH menolak alasan tindakan mereka terbabit kerana kegagalan Menteri Besar menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Beliau berkata, UMNO sebagai rakan gabungan dalam kerajaan negeri sepatutnya bersama-sama pentadbiran Menteri Besar mencari jalan penyelesaian secara berhemah, berperlembagaan dan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, bukannya mengambil kesempatan politik daripada keadaan tersebut

Menurutnya, tindakan ADUN UMNO/BN berkenaan sebagai langkah politik bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri yang dibentuk secara sah melalui kerjasama PH dan semangat Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya negeri (PRN) ke-15.

MK Ibrahim yang juga Yang Dipertua DUN, berkata mandat rakyat dalam pilihan raya lalu telah diberikan berasaskan persefahaman politik Kerajaan Perpaduan dan atas semangat itu juga, AMANAH membuat pengorbanan politik termasuk memberi laluan kepada UMNO di kerusi DUN Lenggeng.

“Oleh itu, tindakan menarik sokongan secara mengejut ini bukan sahaja mengkhianati AMANAH dan PH, malah mencabuli mandat rakyat Negeri Sembilan.

“Rakyat masih ingat kesan buruk budaya politik khianat yang pernah berlaku pada 2020 melalui langkah dikenali sebagai ‘tebuk atap’,” tegasnya satu kenyataan hari ini.

Politik murahan

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat menolak sebarang usaha mengulangi budaya politik tidak berprinsip dan tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Semua pihak wajar hormati proses perundangan dan tatacara yang sah dalam menyelesaikan sebarang kemelut berkaitan institusi negeri.

“Isu membabitkan institusi adat dan perlembagaan tidak seharusnya dijadikan alat untuk menghalalkan langkah politik murahan,” katanya.

Dalam masa sama, MK Ibrahim berkata, AMANAH Negeri Sembilan memberi sokongan penuh kepada Aminuddin untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Jelasnya, Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan dilantik secara sah berdasarkan mandat rakyat serta sokongan DUN pada masa pembentukan kerajaan negeri.

“AMANAH berpendirian bahawa politik bermaruah mestilah berasaskan prinsip, kesetiaan kepada perjanjian dan hormat mandat rakyat.

“Sebarang tindakan bersifat khianat, menikam rakan gabungan dari belakang dan menggugat kestabilan kerajaan negeri tidak boleh diterima,” kata MK Ibrahim lagi.

BACA JUGA Ikut nasihat Tuanku, jalankan pentadbiran macam biasa – Anwar