Merz ‘sekolahkan’ AS: Perang Iran tanpa pelan keluar

Canselor Jerman, Friedrich Merz mengkritik Amerika Syarikat(AS) kerana didakwa memasuki konflik dengan Iran tanpa strategi keluar yang jelas, sekali gus menyukarkan usaha menamatkan perang tersebut.

Bercakap dalam sesi dialog bersama pelajar sekolah menengah di Marsberg, Merz berkata pengalaman lalu di Afghanistan dan Iraq menunjukkan bahawa memasuki konflik tanpa pelan keluar boleh membawa implikasi jangka panjang.

“Anda bukan sahaja perlu tahu bagaimana untuk masuk, tetapi juga bagaimana untuk keluar,” katanya, seperti dilaporkan agensi berita Jerman, DPA.

Menurut Merz, Amerika Syarikat jelas memasuki perang dengan Iran tanpa strategi yang meyakinkan, sekali gus menyukarkan usaha menamatkan konflik.

Beliau turut berpandangan bahawa Iran lebih kuat daripada jangkaan awal, selain menyifatkan negara itu sebagai “sangat mahir” dalam rundingan.

“Mereka sangat mahir berunding atau lebih tepat, sangat mahir untuk tidak berunding,” katanya.

Selain aspek geopolitik, beliau memberi amaran bahawa perang berkenaan turut memberi kesan langsung kepada prestasi ekonomi Jerman.

Katanya, konflik itu menambah tekanan kepada ekonomi negara yang sedia berdepan cabaran, dengan kos yang semakin meningkat.

Minggu lalu, Jerman yang merupakan kuasa ekonomi terbesar Eropah telah menurunkan unjuran pertumbuhan, dengan kerajaan kini menjangka ekonomi hanya berkembang 0.5 peratus tahun ini berbanding anggaran awal 1.0 peratus.

Bagi tahun 2027 pula, unjuran pertumbuhan disemak turun kepada 0.9 peratus daripada 1.3 peratus sebelum ini, dengan konflik melibatkan Iran antara faktor utama.

Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan oleh akhbar Bild am Sonntag mendapati tahap kepuasan terhadap Merz juga berada pada paras rendah.

Sebanyak 70 peratus responden menyatakan tidak berpuas hati dengan prestasinya, manakala hanya 21 peratus menyatakan sebaliknya.

Tinjauan sama turut menunjukkan 73 peratus tidak berpuas hati dengan kerajaan gabungan konservatif pimpinan Christian Democratic Union dan Social Democratic Party of Germany.