Selepas tarik sokongan terhadap MB, UMNO Negeri Sembilan mohon menghadap Tuanku Muhriz
Selepas mengumumkan keputusan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, UMNO Negeri Sembilan menghantar permohonan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pula.
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, permohonan itu dibuat bagi memaklumkan secara rasmi pendirian parti itu berhubung perubahan sokongan politik membabitkan pentadbiran negeri.
“Kita sudah membuat permohonan untuk menghadap Tuanku (Tuanku Muhriz), untuk menyatakan tentang pemakluman penarikan sokongan kita kepada menteri besar dan saya belum lagi dititah dan bersedia pada bila-bila masa untuk menghadap Tuanku,” katanya, dipetik BH.
Jalaluddin berkata, kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah menetapkan beberapa ‘garis merah’ yang tidak boleh dilanggar, termasuk perkara melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, perkara yang berlaku sekarang ini adalah soal mempertahankan prinsip UMNO di mata rakyat berkaitan krisis yang terkait dengan undang dan institusi diraja.
Tambahnya, isu seumpama itu pernah berlaku sebelum ini namun dapat diselesaikan secara tertutup tanpa menimbulkan polemik awam.
BACA JUGA PM jumpa Zahid, Loke bersama Saifuddin