Tiada pilihan raya, Majlis Presiden PH tentukan hubungan dengan BN
Nasib hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini berada di tangan pucuk pimpinan gabungan, susulan langkah mengejut BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin menegaskan beliau tidak akan membuat keputusan bersendirian, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan hala tuju seterusnya, termasuk implikasi terhadap kerjasama dengan BN di peringkat persekutuan.
“Perkara ini kita serah kepada pucuk pimpinan. Di peringkat negeri, saya akan terus jalankan tanggungjawab seperti biasa,” katanya kepada pemberita.
Dalam perkembangan sama, Aminuddin memberi bayangan bahawa krisis politik negeri itu tidak akan membawa kepada pilihan raya mengejut dalam masa terdekat, walaupun kerajaan pimpinannya kini berada dalam kedudukan minoriti.
Krisis tercetus apabila 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Ketua Umno negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata tindakan itu berkait dengan kemelut membabitkan empat Undang yang didakwa mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disingkirkan.
Dalam masa sama, lima Adun Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Untuk rekod, sebanyak 19 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan, namun tanpa sokongan BN, PH kini hanya memiliki 17 kerusi dalam DUN Negeri Sembilan.
Mengulas langkah BN, Aminuddin mempersoalkan tindakan gabungan itu yang tidak membawa usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya hanya mengumumkan penarikan sokongan.
Beliau turut mendedahkan bahawa persidangan DUN ditangguhkan atas permintaan empat exco BN, termasuk Jalaluddin, sehari sebelum ia berlangsung.
“Kalau mereka benar-benar merancang, mereka sepatutnya benarkan sidang DUN diteruskan dan kemukakan usul undi tidak percaya.
“Saya bukan yang minta sidang ditangguhkan, mereka yang buat keputusan itu,” katanya.
Walaupun hanya disokong 17 daripada 36 Adun ketika ini, Aminuddin menegaskan kerajaan negeri masih boleh berfungsi sebagai kerajaan minoriti sehingga isu sokongan majoriti ditentukan secara rasmi di DUN.
BACA JUGA 10 dalil Anwar tak layak jadi PM lagi