AMK N9 : Hentikan eksperimen politik, rakyat bukan bahan uji kaji
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan menggesa semua pihak menghentikan apa yang disifatkan sebagai ‘eksperimen politik’ yang hanya merugikan rakyat dan menggugat kestabilan negeri.
Dalam kenyataan hari ini, AMK Negeri Sembilan menegaskan sebarang percaturan politik untuk menukar kerajaan di luar proses demokrasi yang matang tidak wajar diteruskan, apatah lagi ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi dan kos sara hidup.
“…tindakan segelintir pihak yang cuba menggugat pentadbiran sedia ada hanya akan menghidupkan kembali budaya politik tidak sihat seperti “tebuk atap”.
“Kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Aminuddin Harun, terbentuk melalui mandat sah rakyat, dan usaha menjatuhkannya melalui percaturan angka merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap pengundi,” kata Ketua AMK negeri, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar.
AMK turut menegaskan bahawa keutamaan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri dan membantu rakyat, bukannya mencetuskan ketidaktentuan politik.
Sehubungan itu, mereka mendesak semua pihak agar menghentikan segera gerakan yang boleh menjejaskan kestabilan, serta kembali fokus kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.