Belanja tak kritikal dipotong demi subsidi rakyat- MOF

Kerajaan memperkenalkan langkah penyusunan semula perbelanjaan bagi memastikan keutamaan negara terus memihak kepada rakyat, tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal dan kestabilan ekonomi.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan panduan telah dikeluarkan kepada semua kementerian dan agensi untuk menilai semula perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan peningkatan tanggungan subsidi.

Menurut kementerian itu, pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mengurus kewangan negara secara berhemat dan bertanggungjawab, sambil memastikan bantuan kepada rakyat dapat diteruskan secara mampan.

“Pelarasan perbelanjaan akan dilaksanakan tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat serta kestabilan ekonomi,” menurut kenyataan tersebut.

Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam suasana ekonomi global yang mencabar, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan utama kerajaan.