DOSM dedah umur 29 baru ‘mula bernafas’

Rakyat Malaysia hanya mula mencatat lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan seawal usia 29 tahun, menurut dapatan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sekali gus memberi gambaran jelas tentang tekanan kos hidup dalam kitaran hayat rakyat.

Ketua Perangkawan Datuk Mohd Uzir Mahidin berkata lebihan tersebut kemudian meningkat dan mencapai kemuncak sekitar usia 44 tahun sebelum kembali menyusut dan bertukar kepada defisit menjelang umur 56 tahun.

“Pada usia 44 tahun, lebihan pendapatan mencapai RM14,523 per kapita setahun sebelum menurun secara beransur-ansur dan kembali defisit sekitar usia 56 tahun,” katanya.

Dapatan itu terkandung dalam laporan Akaun Pindahan Negara (NTA) Malaysia 2022 yang dilancarkan hari ini, yang menganalisis aliran ekonomi rakyat berdasarkan peringkat umur.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bagi tahun 2022, jumlah perbelanjaan penggunaan negara mencecah RM1.24 trilion berbanding pendapatan buruh RM764 bilion, menghasilkan defisit kitaran hayat (LCD) sebanyak RM477 bilion.

“Defisit ini dibiayai melalui peruntukan semula berasaskan aset berjumlah RM491 bilion, bersamaan 103.1 peratus daripada nilai defisit,”kata Mohd Uzir.

Laporan itu turut menunjukkan pendapatan buruh meningkat mengikut umur dan mencapai kemuncak pada usia 49 tahun dengan purata RM48,379 setahun per kapita.

Pendapatan daripada bekerja sendiri juga mencatat nilai tertinggi pada usia sama, iaitu RM13,042 per kapita.

Namun dari sudut perbelanjaan, trend berbeza diperhatikan apabila golongan lebih berusia mencatat penggunaan lebih tinggi.

“Purata penggunaan per kapita adalah RM37,947, namun meningkat kepada RM50,429 bagi umur 60 hingga 64 tahun, dan RM51,211 bagi warga emas 65 tahun ke atas,”katanya.

Sebaliknya, perbelanjaan bagi kanak-kanak di bawah empat tahun adalah lebih rendah, sekitar RM26,313 per kapita.

Perbelanjaan isi rumah didorong terutamanya oleh sektor swasta dengan purata RM31,564 per kapita, manakala sektor awam menyumbang RM6,382.

Menurut Mohd Uzir, sektor awam memainkan peranan penting dalam menyokong kumpulan tertentu, khususnya dalam pembiayaan pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Kerajaan memberi sokongan bersasar merentas kumpulan umur, termasuk pendidikan untuk kanak-kanak dan penjagaan kesihatan bagi warga tua,” katanya.

Penerbitan laporan NTA ini menjadikan Malaysia antara negara terawal di dunia menggunakan pendekatan tersebut, selepas Korea Selatan dan Colombia.

NTA merupakan rangka kerja ekonomi antara generasi yang dibangunkan berdasarkan garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memahami bagaimana pendapatan dan perbelanjaan diagihkan sepanjang hayat.

Secara keseluruhan, dapatan ini memberikan gambaran bahawa majoriti rakyat hanya mencapai kestabilan kewangan pada usia tertentu, sebelum kembali berdepan tekanan apabila memasuki fasa persaraan.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan lebih besar tentang kos sara hidup, struktur pendapatan, serta tahap perlindungan sosial dalam jangka panjang.