Jalaluddin nak persembah majoriti kepada siapa? Ini kuasa sebenar Dato’ Undang dalam krisis N9
Oleh NORMAN DAUD
Berdasarkan Jadual Perbelanjaan 2024, Dato’ Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin menerima peruntukan kira-kira RM1.6 juta setahun, dengan perbelanjaan sebenar sekitar RM1.3 juta.
Jika dibahagikan kepada lima individu ini, masing-masing menerima elaun bulanan sekitar RM22,000. Ini belum termasuk kemudahan kediaman, kenderaan, polis pengiring, dan elaun-elaun lain.
Dari segi kedudukan, status Dato’ Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin terjamin teguh dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Malah, mereka mempunyai tempat khusus dalam Susunan Keutamaan Persekutuan.
Jika dibandingkan dengan gelaran kerabat di negeri lain seperti Raja Kechil Sulong atau Raja Bongsu di Perak, jawatan tersebut tidak termaktub di senarai teratas peringkat persekutuan.
Peranan mereka dalam pentadbiran luak masing-masing juga amat besar. Mereka mempunyai autoriti dalam urusan agama Islam dan tanah.
Sebagai contoh, jika sebarang usaha penerokaan hasil bumi REE dalam kawasan luak, walau dipohon oleh syarikat luar (seperti dari Pulau Pinang contohnya) dan bukan berstatus Bumiputera, Dato’ Undang berkuasa meluluskan.
Bukan tiket
Mengenai polemik pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, memang benar Dato’ Undang Yang Empat mempunyai hak pemilih.
Namun, ia bukan tiket untuk menurunkan takhta baginda sesuka hati hanya atas dasar ketidakpuasan peribadi.
Perkara 10 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan tatacara yang ketat.
Siasatan terperinci perlu dilakukan dan mesti dibuktikan kesalahannya secara sah di mahkamah barulah tindakan menyingkirkan baginda boleh diambil.
Ia bukan bermakna apabila ada pihak atau kerabat mereka dipecat, lalu wujud rasa tidak berpuas hati, mereka boleh memecat Yang di-Pertuan Besar secara melulu. Sila baca dan fahami betul-betul peruntukan undang-undang tersebut.
Dalam soal ini, wajarlah kita mendapatkan pandangan pakar perundangan, bukannya bersandarkan sentimen semata-mata yang berselindung di sebalik alasan ‘menjaga adat’.
Cerita dongeng antah-berantah tidak lagi relevan. Keluhuran undang-undang bertulis yang harus diguna pakai.
Satu lagi persoalan, ya, mereka berhak memilih Yang di-Pertuan Besar.
Namun, dalam kemelut yang berlaku hari ini, tidakkah pelik apabila nama Tunku Nadzaruddin diangkat?
Beliau bukanlah anakanda sulung. Malah, beliau mempunyai kekanda yang lebih kanan.
Tunku Naquiyuddin merupakan Tunku Laxamana (dan pernah bertugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Besar), manakala Tunku Imran ialah Tunku Muda Serting.
Jadi, mengapa Tunku Nadzaruddin?
Saya tidak mempertikaikan kuasa adat Dato’ Undang, tetapi keadilan mesti ditegakkan baik terhadap Yang di-Pertuan Besar mahupun Menteri Besar.
Institusi seperti Dewan Keadilan dan Undang ada peranannya dalam bermesyuarat memutus hal ini, bukannya kita orang awam. Tindakan semberono hanya menggambarkan seolah-olah institusi Yang di-Pertuan Besar itu tidak bernilai langsung.
Menteri Besar perlu memberikan penjelasan yang tuntas memandangkan urusan harian pentadbiran kerajaan negeri harus diteruskan dan tidak boleh terbantut semata-mata kerana krisis ini.
Sebab itulah pendirian beliau menyatakan bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Besar kekal sah, sehinggalah ia diputuskan sebaliknya oleh Dewan Keadilan dan Undang.
Kepada pihak bawahan yang melebih-lebihkan sentimen politik bertopengkan ‘penyatuan ummah’, cukuplah.
Kalian sentiasa melaungkan mahu memartabatkan institusi Raja-raja Melayu, tetapi apa yang kalian lakukan sekarang?
Tidakkah tindakan ini menjurus kepada penderhakaan? Hakikatnya, kedudukan Yang di-Pertuan Besar itu jelas terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Akhirnya, nak lihat hari ini, Datuk Seri Jalaluddin nak persembahkan majoriti beliau kepada siapa. Kepada Yang di-Pertuan Besar di Istana atau kepada Dato’ Undang di Telaga Dato’?
BACA JUGA ‘Maaf cakap saya terkilan’ – Lokman kritik tindakan Adun BN cetus krisis di N9