KUSKOP turun padang bantu mangsa kebakaran

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggerakkan misi bantuan menyeluruh termasuk pakej penstrukturan semula pembiayaan bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan bangkit semula.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sokongan khas disalurkan melalui agensi di bawah kementerian termasuk TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurut beliau, bantuan itu melibatkan moratorium bayaran, penjadualan semula pembiayaan serta suntikan modal tambahan bagi memastikan kelangsungan perniagaan usahawan yang terjejas.

“Ini penting bagi membantu mereka yang kehilangan premis, inventori dan tempat tinggal untuk kembali memulakan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara bantuan ditawarkan, TEKUN Nasional menyediakan moratorium sehingga enam bulan, selain kemudahan pembiayaan tambahan. Bank Rakyat pula menawarkan penangguhan ansuran bagi pelbagai produk termasuk perumahan dan pembiayaan peribadi.

Sementara itu, AIM menyediakan penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan serta bantuan tunai sehingga RM5,000 kepada usahawan yang terkesan teruk.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri KUSKOP, Mohamad Alamin turut turun padang meninjau keadaan mangsa serta menyerahkan 400 bakul makanan dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara.

KUSKOP memaklumkan, pelbagai bantuan tambahan turut disalurkan oleh agensi di bawahnya termasuk bantuan persekolahan, pakaian, zakat dan sokongan kewangan kepada pelajar terjejas.

Kementerian itu turut menggesa usahawan dan koperasi yang terkesan agar segera menghubungi agensi berkaitan bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha pantas kerajaan dalam memastikan mangsa bukan sahaja menerima bantuan kecemasan, tetapi turut dibantu untuk memulihkan semula sumber pendapatan mereka.