Lepas PH kecam cubaan tebuk atap, BN Negeri Sembilan pula pertahan tindakan mereka

Susulan kritikan terbuka Pakatan Harapan terhadap 14 ADUN BN Negeri Sembilan yang mengkhianat rakan gabungan mereka sendiri, Umno-BN dalam satu kenyataan malam tadi pula menafikan tindakan mereka sebagai usaha “tebuk atap”.

Kenyataan mewakili 14 ADUN BN itu menyebut, alasan mereka menarik sokongan dari kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun adalah disebabkan telah “hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar”.

Mereka mempertahankan tindakan tidak bertanggungjawab itu dengan mengatakan bahawa isu ini bukan sekadar pertikaian politik biasa, tetapi membabitkan krisis Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kestabilan pentadbiran negeri.

“Umno BN Negeri Sembilan tidak mencampuri urusan adat. Namun apabila tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat, mencetuskan pertikaian awam, dan Exco Umno BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri, maka Umno BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetujui dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri.

“Atas sebab itu, tindakan menarik sokongan ini bukan soal prestasi harian Menteri Besar semata-mata, tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif,” katanya malam tadi.

Semalam Fahmi Fadzil menegaskan, PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan Umno BN Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran kerajaan, apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar.

Tegas beliau, tindakan Umno BN Negeri Sembilan ini telah dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat.

Sementara itu, BN dalam kenyataan balasnya pula menyeru  PH, supaya tidak meremehkan krisis ini dengan menyempitkannya kepada naratif “tebuk atap” atau perebutan kuasa semata-mata. 

Rakyat Negeri Sembilan katanya, berhak mendapat penjelasan yang jujur tentang bagaimana krisis ini berlaku, mengapa Exco UMNO BN tidak dimaklumkan, dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan.