Ops Tiris 4.0: KPDN WPKL Rampas 1,500 Liter Diesel, Modus Operandi ‘Runner’ Terbongkar

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) terus memperkukuh usaha membanteras penyelewengan barang kawalan apabila berjaya melakukan satu lagi tangkapan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu. (Gambar: UKK KPDN KL)

Dalam operasi hasil risikan dan pemantauan berterusan itu, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga pemandu lori telah ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen sah bagi membawa barang kawalan berjadual iaitu bahan api diesel. Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan tiga tangki tambahan berkapasiti keseluruhan 3,000 liter. Turut dirampas ialah sebanyak 1,500 liter minyak diesel. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM51,500, manakala potensi kerugian subsidi kerajaan boleh mencecah RM11,880 sekiranya tangki tambahan tersebut diisi penuh.

Siasatan awal mendapati lori berkenaan mendapatkan bekalan diesel dari beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang sebelum dihantar ke stor berhampiran untuk tujuan penyimpanan dan penyelewengan. Modus operandi turut melibatkan individu lain bertindak sebagai “runner” yang membuat urusan di kaunter menggunakan kad armada (fleet card) serta pembayaran tunai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit sah. Jika sabit kesalahan, pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala individu pula berdepan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman menegaskan kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan pasukan khas dalam mengekang ketirisan diesel bersubsidi. “Pasukan Khas KPDN WPKL sentiasa komited dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan. Kami juga tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas subsidi kerajaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak KPDN akan mengesyorkan pembatalan atau penggantungan kelulusan kad armada kepada mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kemudahan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Tambah beliau, operasi dan pemantauan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti penyelewengan dapat dibendung sepenuhnya demi melindungi kepentingan rakyat dan negara. Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak KPDN bagi membantu usaha membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab ini.