Gempar! 10 rakyat Malaysia termasuk ZRA diculik rejim Israel

Aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) antara 10 rakyat Malaysia yang diculik dalam tindakan bacul rejim Israel menahan dan menceroboh enam kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF 2.0).

Sumud Nusantara dalam sidang media hari ini memaklumkan kapal yang dinaiki ZRA adalah Arkham III atau Al-Faluja.

Sementara itu, Dr Jihan Aliya Nordin dan Kapten Osman Zulkifli menaiki kapal Eros I.

Empat kapal lain pula memuatkan Syamsir Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Hanafi Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Nor Helmi Abdul Ghani, Rizal Hamzah dan Muhsen Zaidi.

Sementara itu, akaun rasmi Instagram (IG) Sumud Nusantara berkata, penahanan itu mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan misi serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan mesti bertindak segera untuk melindungi flotilla ini serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan genosid berterusan terhadap rakyat Palestin.

“Dunia tidak boleh berdiam diri. Lindungi flotilla. Tamatkan kepungan. Bebaskan Palestin,” tegas Sumud Nusantara lagi.

GSF 2.0 berlepas dari Barcelona, 12 April lalu membawa gabungan antarabangsa yang bertekad untuk memecah kepungan Israel ke atas Gaza.

Lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia terlibat dalam misi kali ini, menggabungkan tindakan maritim dengan gerakan mobilisasi global secara bersepadu di darat.

Kempen kemanusiaan turut menghimpunkan solidariti, advokasi undang-undang serta kempen akar umbi di pelbagai negara sebagai respons terhadap penindasan yang berterusan dialami rakyat Palestin.

BACA JUGA AirTrunk tambah RM12 bilion pelaburan, perkukuh Malaysia sebagai hab digital serantau