DAP sambut baik keputusan Umno – Negeri Sembilan ‘panas’ tapi tak tumbang

DAP menyambut baik keputusan Biro Politik Umno yang mengekalkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, sekali gus meredakan spekulasi kejatuhan pentadbiran negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian tersebut selari dengan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak bersetuju dengan sebarang usaha menubuhkan kerajaan baharu melalui jalan “tebuk atap”.

Menurutnya, keputusan itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan sedia ada akan terus kekal mentadbir negeri.

“Maknanya kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan ini kekal, dan pentadbiran boleh berjalan seperti biasa bagi memastikan kestabilan,” katanya kepada media.

Kenyataan itu hadir di tengah kemelut apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dilaporkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bagaimanapun, Loke menegaskan isu berbangkit melibatkan institusi adat dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu diselesaikan secara dalaman tanpa campur tangan politik.

“Perkara itu di luar kawalan kita. Yang penting, kerajaan negeri terus berfungsi dan memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan satu pertemuan antara Umno dan Pakatan Harapan akan diadakan bagi menyelesaikan perbezaan dasar, selaras dengan perjanjian Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, Umno memandang serius kemelut melibatkan institusi diraja dan adat di Negeri Sembilan yang mencetuskan polemik dalam kalangan parti komponen.

“Umno menghormati pendirian Adun/BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, namun tetap komited menyokong kerajaan bagi memastikan kestabilan negeri,” katanya.

Perkembangan itu menunjukkan landskap politik Negeri Sembilan masih bergelora, namun kerajaan perpaduan kekal utuh sekurang-kurangnya buat masa ini.