Diskaun 30% tiket tren dilanjut, ramai ‘serbu’

Inisiatif diskaun 30 peratus MADANI30 bagi perkhidmatan tren kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad dilanjutkan sehingga 14 Mei ini susulan sambutan menggalakkan.

Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, lanjutan itu melibatkan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) yang terus menerima permintaan tinggi daripada orang ramai.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan sebanyak 1.2 juta tempat duduk ditawarkan di bawah inisiatif MADANI30 bagi tempoh perjalanan dari Mei hingga Oktober 2026.

“Inisiatif ini membuka peluang kepada rakyat merancang perjalanan lebih awal dengan kadar tambang lebih berpatutan,” menurut kenyataan itu.

Diskaun tersebut ditawarkan bagi pembelian tiket dewasa untuk semua sektor ETS serta perkhidmatan ERT bagi laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral, dengan tempoh perjalanan sehingga 14 Oktober 2026.

Bagaimanapun, diskaun hanya terpakai bagi perjalanan hari Isnin hingga Khamis, tidak termasuk musim cuti sekolah dan cuti perayaan.

Kementerian berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh agenda “Road to Rail”, selaras aspirasi Kerajaan MADANI untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dan jejak karbon.

Langkah tersebut juga dilihat sebagai usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta memperbaiki kualiti hidup rakyat melalui sistem mobiliti yang lebih bersepadu.