Isu projek rakyat, banjir dan kemiskinan jadi tumpuan PM di Selangor

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling semalam bagi meneliti kemajuan pelaksanaan projek rakyat serta merangka penyelesaian terhadap isu-isu mendesak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada pelbagai aspek termasuk pengurusan bandar dan sosial seperti rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi, yang memerlukan pendekatan lebih tersusun dan berkesan.

“Semua ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Tumpuan turut diberikan kepada penyenggaraan jalan raya dan kemajuan projek mitigasi banjir.

“Saya tekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar dimaklumkan bahawa kemiskinan tegar di Selangor telah berjaya dinoktahkan, namun menegaskan pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan tiada golongan tercicir.

“Lebih penting, setiap keluarga mesti diberi peluang untuk bangkit, diperkasa melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri,” ujarnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan bahawa kekuatan ekonomi Selangor perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan bandar.

“Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat,” tegasnya.

Mengulas kejayaan program SejaTi MADANI di Petaling, Anwar berkata inisiatif tersebut wajar diperluaskan terutama dalam membantu golongan miskin bandar.

Katanya, beberapa projek komuniti seperti program jahitan di Kampung Melayu Subang, perusahaan madu kelulut di Bayu Damansara serta pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan rakyat mampu mencipta perubahan dengan sokongan yang tepat, termasuk menjana pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000.

“Insya-Allah, dengan kesungguhan semua pihak, kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah tertangguh, memperkukuh kekuatan sedia ada serta memastikan nikmat pembangunan ini benar-benar dirasai oleh rakyat,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Selepas melawat Hospital Ampang, Dr Dzulkefly kongsikan empat perkembangan ini