Kaukus Palestin Parlimen Malaysia kecam Israel rampas flotilla

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa memintas dan menahan kapal-kapal dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa, awal pagi hari ini.

Dalam satu kenyataan, pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata tindakan itu bukan sahaja biadab, malah mencabul undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, insiden berlaku berhampiran Kepulauan Crete, Greece, kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza ketika konvoi flotilla berkenaan sedang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan.

“Setakat jam 1 tengah hari waktu Malaysia, sebanyak 22 kapal dilaporkan telah dirampas, termasuk enam kapal yang membawa 10 rakyat Malaysia,” katanya.

Nasib kapal-kapal lain bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Sehubungan itu, kaukus berkenaan mengemukakan beberapa tuntutan termasuk:

  • Israel menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa
  • Semua anak kapal yang ditahan dibebaskan segera
  • Masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan tersebut
  • Ahli Parlimen seluruh dunia bersatu menyuarakan bantahan
  • Kerajaan Malaysia mengambil langkah segera bagi menjamin keselamatan rakyat negara ini.

Kaukus itu menegaskan bahawa kejadian berlaku di perairan antarabangsa, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap kedaulatan undang-undang maritim global.

GSF 2.0 merupakan misi kemanusiaan antarabangsa yang melibatkan puluhan kapal membawa bantuan ke Gaza, yang berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan.